Apa nasib 2 kapal OPV APMM yang gagal siap? Belum ada kata putus kerajaan selesaikan kelewatan pembinaan? | DagangNews Skip to main content

Apa nasib 2 kapal OPV APMM yang gagal siap? Belum ada kata putus kerajaan selesaikan kelewatan pembinaan?

Kapal KM Tun Fatimah semasa diserahkan secara rasmi kepada APMM pada Januari lalu.
Analisis oleh Zaki Salleh

NASIB 2 kapal peronda ronda luar pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang belum siap setelah tertangguh lebih enam tahun masih terumbang-ambing.

 

Sehingga kini kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum memutuskan sebarang perkara mengenainya.

 

Difahamkan, pembinaan OPV 2 yang kini pada tahap 75 peratus siap manakala OPV 3 lebih 50 peratus dan lari jauh daripada jadual asal.

 

 

Mengikut jangkaan sebelum ini, kapal OPV 2 akan diserahkan kepada APMM beberapa bulan selepas OPV 1 dan seterusnya adalah kapal OPV 3.

 

 

Kapal
Kapal OPV 1, KM Tun Fatimah semasa melakukan pelayaran di perairan Selat Melaka.

 

 

Bagaimana pun, selepas penyerahan OPV 1 yang dinamakan KM Tun Fatimah pada Januari lalu belum ada bayangan dua kapal berikutnya dapat disiapkan.

 

Penyerahan KM Tun Fatimah walau pun sedikit melegakan APMM, namun tanpa 2 lagi OPV ia masih gagal melengkapkan pasukan ini sepertimana sepatutnya.

 

Sepatutnya ketiga-tiga OPV ini menjadi aset penting APMM untuk ditugaskan di perairan Sarawak khususnya bagi pengawasan di Laut China Selatan.

 

Sepertimana diketahui umum, perairan Laut China Selatan berdepan dengan isu pencerobohan kapal peronda pasukan maritim China selain nelayan-nelayan asing.

 

Selain daripada aset pasukan maritim, China juga menghantar kapal militia maritim berselindung sebagai kapal nelayan.

 

 

Kapal

 

Kapal

 

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada April lalu memberitahu bahawa baki 2 OPV APMM ini dijangka diterima APMM dalam tempoh kurang dua tahun.

 

Anggaran tempoh masa tersebut mengambil kira perkembangan semasa pembinaan kedua-dua kapal.

 

Beliau juga memaklumkan bahawa KDN akan membuat keputusan mengenai hala tuju pembinaan kapal tersebut yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

KDN juga katanya, memerlukan suntikan RM200 juta untuk menyiapkan projek OPV 2 dan OPV 3.

 

Jumlah itu hasil semakan semula peruntukan asal dan baki peruntukan baharu bagi menyiapkan OPV 1 sebelum ini.

 

 

Kapal
Gambar dipercayai OPV 2 dan OPV 3 yang belum siap.
​​​​​

 

Kapal

 

 

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020. 

 

Ia merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

 

Kementerian Kewangan (MOF) kemudian terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta.

 

Jika kerajaan bersetuju menyuntik lagi RM200 juta, bermakna kos keseluruhan projek OPV APMM ini akan berubah menjadi RM1 bilion.

 

 

Kapal
Tiga OPV baharu sepatutnya diterima APMM bagi memperkasakan rondaan di laut.

 

 

Ini menjadikan kos sebuah OPV APMM secara purata adalah RM363.8 juta berbanding anggaran asal iaitu RM246.3 juta.

 

Pada angka RM363.8 juta, harga OPV APMM yang asalnya bukanlah sebuah kapal canggih ini adalah mahal.

 

Sebelum ini, isu kelewatan projek pembinaan kapal OPV APMM menjadi masalah kedua dalam perolehan kelengkapan keselamatan selepas skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Cuma berbeza dengan projek LCS, kapal OPV tidak secanggih kapal perang kerana hanya dilengkapi peralatan untuk rondaan seperti radar dan meriam kecil.

 

Sebab itu kos kapal OPV lebih rendah berbanding LCS yang menelan berbilion ringgit.

 

Walau pun tidak secanggih kapal LCS, syarikat tempatan yang diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan projek ini gagal menyiapkan OPV mengikut jadual.

 

Sepertimana skandal LCS, kelewatan projek OPV juga menjadi modal ahli-ahli politik pembangkang pada masa itu yang mana ia kini tidak disuarakan lagi. - DagangNews.com