APB Resources muncul pemegang saham kedua terbesar Globetronics selepas selesai ambil alih 10.37% pegangan bernilai RM140 juta | DagangNews Skip to main content

APB Resources muncul pemegang saham kedua terbesar Globetronics selepas selesai ambil alih 10.37% pegangan bernilai RM140 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - APB Resources Bhd muncul selaku pemegang saham kedua terbesar Globetronics Bhd selepas menyelesaikan pembelian pegangan 10.37% berharga RM140 juta dalam syarikat semikonduktor itu.

 

Transaksi itu menyaksikan tiada lagi pegangan keluarga Ng dalam syarikat yang diasaskan secara bersama oleh Michael Ng Kweng Chong pada 1991.

 

APB Resources memperoleh 46.31 juta saham dalam Globetronics daripada General Produce Agency Sdn Bhd dan 23.69 juta saham lagi daripada Ng Kweng Chong Holdings Sdn Bhd berikutan perjanjian yang ditandatangani pada 18 Disember 2023.

 

Kedua-dua General Produce Agency dan Ng Kweng Chong Holdings adalah kenderaan pelaburan yang dimiliki oleh keluarga Ng. 

 

Data Bloomberg menunjukkan 46.31 juta dan 23.69 juta blok saham itu didagangkan pada RM2 setiap satu, berjumlah RM140 juta.

 

Pada RM2 sesaham, tanda harga mewakili premium 16.3% kepada penutupan 18 Disember sebanyak RM1.72 dan premium 36.1% kepada penutupan 14 Februari 2024 sebanyak RM1.47.

 

APB Resources sebelum ini menyifatkan langkah untuk melabur dalam Globetronics sebagai "strategik dan tepat pada masanya" untuk menyokong pertumbuhan pasaran elektrik dan elektronik di Malaysia.

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal pemegang saham terbesar dalam Globetronics dengan 13.44% kepentingan manakala Lembaga Tabung Haji mempunyai 5.36% dalam syarikat itu.

 

Pada 7 Februari 2024, Ng tidak lagi menjadi pemegang saham besar syarikat itu selepas melupuskan 6.08 juta saham pada RM1.70 sesaham pada RM10.33 juta.

 

Sebanyak 6.98 juta lagi saham yang dipegang oleh ahli keluarga Ng atau kenderaan berkaitan turut dilupuskan pada hari yang sama, termasuk Wiserite Sdn Bhd, Glencare Sdn Bhd, Pengerusi Eksekutif Globetronics Ng Kok Yu; Ketua Pegawai Kewangan, Ng Kok Choon dan Pengarah Bukan Eksekutif, Ng Kok Khuan.

 

Menurut data Bloomberg, pada 7 Februari lalu, sejumlah 19.86 juta saham dalam Globetronics bertukar tangan pada RM1.70 untuk nilai urus niaga RM33.77 juta.

 

Sehari kemudian, Globetronics menamakan tiga ahli lembaga pengarah baharunya, iaitu pengarah eksekutif, Liaw Way Gian, Kang Wei Luen dan Ku Chong Hong.

 

Ketiga-tiga individu yang dilantik pada masa ini juga memegang jawatan pengarah dalam APB Resources, Artroniq Bhd, dan Sarawak Consolidated Industries Bhd.  - DagangNews.com