Arahan PM siasat semula kes kematian Adib: Semoga kebenaran diperoleh | DagangNews Skip to main content

Arahan PM siasat semula kes kematian Adib: Semoga kebenaran diperoleh

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

PASTI ramai menarik nafas lega dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

 

Ini kerana tragedi menimpa Muhammad Adib itu, sekadar diklafisikasi `kematian tidak disengajakan’ oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, sekali gus menimbulkan tanda tanya kerana fakta umum tahu kejadian berlaku semasa pergaduhan di sebuah kuil di Subang Jaya.

 

Alasan `tidak sengaja’ itu mungkin boleh diterima kalau anggota bomba itu terkorban semasa memadam api misalnya bumbung runtuh atau terhidu asap tebal.

 

Tetapi apa yang berlaku ialah pasukan bomba diserang oleh perusuh semasa kejadian. Fakta ini yang semua orang mahukan kebenaran. Bukan cepat-cepat cuci tangan untuk sekadar menyatakan `kematian tidak sengaja’ maka kes ditutup.

 

Layanan sebegitu dingin terhadap kes ini oleh Pakatan Harapan adalah antara faktor penurunan populariti mereka dalam kalangan penjawat awam. Seolah-oleh disebabkan penjawat awam bukan anggota jentera parti, maka nyawa mereka tidak penting untuk diberi peduli sama seperti kes orang jatuh bangunan di Shah Alam.

 

Atas faktor inilah, langkah  Datuk Seri Ismail Sabri menubuhkan jawatankuasa mengandungi lima kementerian dan jabatan, dilihat bukan sahaja akan membela kematian Muhammad Adib tetapi mengheret mereka yang bersalah membunuh dan juga pihak yang menyalahguna kuasa menutup kes ini, ke muka pengadilan.

 

Tiada siapa akan mempertikaikan iltizam Perdana Menteri menerusi pelantikan menyeluruh jentera kerajaan dalam jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

 

Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.

 

 

adib
ADIB bersama ibu bapa dan pasukan perubatan memberi tanda positif tetapi anggota bomba itu ditakdirkan meninggal dunia juga pada 17 Disember 2018.

 

 

''Jawatankuasa ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan,'' katanya semasa mengumumkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Oktober 2021.

 

Apa berlaku selepas jawatankuasa khas kabinet ini mendapat keputusan? Kemungkinan besar akan mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI.

 

Yang proses RCI ini akan mengambil masa juga tetapi dalam kes yang membabitkan kes sebegini kompleks selain membabitkan sebuah kerajaan yang sudah bubar, ia sememangnya sudah dijangka.

 

Pokok utama di sini ialah `kesanggupan politik’ itu ada pada kerajaan hari ini iaitu kerajaan Ismail Sabri, sesuatu yang acuh tak acuh pada kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

 

BACA JUGA - Ismail Sabri: Jawatankuasa khas 5 kementerian ditubuah siasat kematian Muhammad Adib

 

 

Bagi anda yang sudah lupa atau mahu menyegarkan semula ingatan, berikut adalah fakta kes yang dikumpul daripada pelbagai sumber berwibawa dan juga dokumen mahkamah:

26 November 2018

- pergaduhan membabitkan dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi.

- 18 kenderaan terbakar dan 700 anggota keselamatan digerakkan bagi mengawal keadaan.

- Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun umum polis tahan 17 lelaki dan adakan kawalan 24 jam, orang ramai yang berkumpul di sekitar kuil diarah bersurai.

 

adib

 

27 November 2018

- anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib, 24, diserang dan pukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar.

- Muhammad Adib dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, pada keesokan malamnya.

- Ketua Polis Selangor beri jaminan keadaan terkawal.

- Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy minta semua masyarakat India bertenang.

- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tegaskan insiden berunsur jenayah bukan perkauman atau agama.

 

28 November 2018

- Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman dakwa Muhammad Adib parah akibat kemalangan jalan raya.

- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tubuh jawatankuasa khas siasat kejadian.

 

adib

 

adib

 

 

4 Disember 2018

-Selepas seminggu dirawat, Muhammad Adib beri tindak balas kepada orang sekeliling, tetapi masih tidak dapat bertutur.

5 Disember 2018

- Muhammad Adib mendapat sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru.

- Jantung Muhammad Adib juga mampu berfungsi dengan sendiri tanpa sokongan mesin bantuan.


 

adib

 

7 Disember 2018

- Muhammad Adib tunjuk perkembangan positif walaupun masih kritikal dan stabil selain tidak bergantung kepada mesin sokongan jantung.

8 Disember 2018

- Muhammad Adib masih bergantung beberapa mesin sokongan untuk memastikan organ dalamannya dapat dipulihkan pada tahap optima.

10 Disember 2018

- Muhammad Adib memberikan respons dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

15 Disember 2018

- Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO kira-kira jam 9 malam selepas penilaian mendapati paru-parunya mula mengeras.

16 Disember 2018

- kesihatan Muhammad Adib kembali merosot dan kritikal. Institut Jantung Negara (IJN) memaklumkan selepas penilaian menyeluruh, paru-parunya menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

17 Disember 2018

- Muhammad Adib disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam.

 

Tommy Thomas

Awal tahun ini, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menerbitkan buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ dan beliau mencatatkan tiga perkara berkenaan kes Muhammad Adib iaitu:

 

i. Kecederaan Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan Bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib. Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit (pinned down). Maka ia tidak disengajakan;

 

ii. Dapatan koroner Rofiah Mohamad adalah luar biasa kerana polis telah memaklumkan Tommy Thomas bahawa kemungkinan berlaku perbuatan khianat telah diketepikan sebagai penyebab kematian Muhammad Adib; dan

 

iii. Beliau juga merasa terkejut apabila mengetahui bahawa peguam Syazlin Mansor juga mewakili keluarga Muhammad Adib untuk siasatan mengenai kematiannya. Sedangkan Syazlin juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Oleh itu, Tommy Thomas menghubungi menterinya Zuraida Kamaruddin untuk meminta agar pelantikan Syazlin sebagai wakil dibatalkan.


 

tommy
TOMMY Thomas bersama para pegawainya semasa menjadi Peguam Negara di zaman kerajaan Pakatan Harapan.

 

 

Dapatan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 adalah seperti berikut:

 

1) Muhammad Adib berasa di dalam kenderaan van Bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di belakang jentera pemadam api;

 

2) Daripada keterangan dan bukti rakaman video, Muhammad Adib berada di dalam van bomba semasa van ini dan jentera pemadam api diserang oleh perusuh;

 

3) Van ini sedang dalam keadaan mengundur dan Muhammad Adib yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah membantu pemandu van dengan melihat ke cermin sisi. Pada ketika inilah Muhammad Adib telah ditarik ke luar van oleh perusuh;

 

4) Pada masa Muhammad Adib ditarik keluar, lebih daripada seorang perusuh telah menendang kuat ke arah pintu van sehingga menyebabkan tulang rusuk Muhammad Adib rosak;

 

5) Perusuh kemudian mencampakkan Muhammad Adib ke arah belakang van yang sedang mengundur, yakni tepi pintu penumpang sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah di beberapa tempat; dan

 

6) Sehari atau dua sebelum kematian Muhammad Adib, beliau mampu bercakap dengan baik dan telah mengaku kepada petugas di unit rawatan rapi yang menjaganya bahawa beliau telah ditarik keluar dan dibelasah. Perkara yang serupa turut dimaklumkan kepada ketua balai tempat Muhammad Adib bertugas semasa beliau melawat Muhammad Adib pada hari tersebut.

 

Pada 26 September 2018, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

 

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

 

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

 

Menurut Rofiah, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.
 

 

adib

 

 

Semoga dengan iltizam kerajaan Ismail Sabri menubuhkan jawatankuasa khas kabinet menyiasat kematian Muhammad Adib akan membawa keadilan yang sebenar-benarnya kepada anggota bomba ini khususnya, dan pembelaan terhadap semua penjawat awam terutama yang menyabung nyawa dalam tugas harian mereka demi Malaysia tercinta ini.

 

Semoga kejadian menimpa Muhammad Adib tidak berlaku lagi.

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Metallica - The Unforgiven berulang-ulang kali.
 
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.