Asia Platinum Capital, Macor Shipping jalin kerjasama bekal rumput napier gergasi ke Korea | DagangNews Skip to main content

Asia Platinum Capital, Macor Shipping jalin kerjasama bekal rumput napier gergasi ke Korea

Pengarah Urusan Macor Shipping, Lee Jong Young (depan kiri) dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Asia Platinum Capital, Dato Tan Chee Hong (kanan) memeterai perjanjian kerjasama pembekalan GKG sambil disaksikan Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan (belakang kanan).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Asia Platinum Capital Berhad (APCB) dan Macor Shipping Sdn. Bhd. (MSSB) menjalinkan kerjasama bagi pembekalan rumput napier gergasi (GKG) ke Korea bagi dijadikan makanan haiwan.

 

Menerusi perjanjian kerjasama itu,  APCB akan membekalkan MSSB dengan 10,000 tan metrik makanan haiwan GKG sebulan pada harga AS$300 setiap tan metrik, berjumlah 120,000 tan metrik setiap tahun.

 

Sepanjang tempoh dua tahun awal, perjanjian ini diunjurkan menyumbang dengan ketara kepada hasil APCB, dengan nilai kasar AS$72 juta.

 

Di samping itu, yuran pengurusan sebanyak AS$30 setiap tan akan dikenakan bagi setiap tan yang dibekalkan sekali gus meningkatkan nilai ekonomi kerjasama itu.

 

Pengerusi APCB, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan berkata, kerjasama strategik dengan MSSB itu mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju dalam pasaran GKG dan sejajar dengan visinya memupuk sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

"Komitmen kami untuk menyediakan MSSB dengan makanan haiwan GKG yang berkualiti tinggi akan menjana kemudahan pengeluaran mereka dan menyokong rangka kerja yang lebih besar bagi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

APCB memberi fokus kepada pertanian lestari dan merupakan penanam GKG terbesar di negara ini manakala MSSB merupakan pengeksport makanan haiwan GKG untuk diproses oleh pengguna akhir di Korea.

 

APCB bersedia untuk mengusahakan GKG di atas tanah seluas lebih 10,000 ekar di Sabah bagi memenuhi keperluan MSSB.

 

"Kerjasama dengan MSSB ini bukan hanya mengenai pertumbuhan perniagaan. Ia adalah langkah strategik ke arah merealisasikan potensi besar sumber tenaga alternatif seperti GKG.

 

"Menerusi penanaman rumput serba boleh ini secara doemstik, kami menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan beralih daripada pergantungan arang batu.

 

"Usaha kami secara langsung mencerminkan hala tuju kerajaan ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau dan lebih mampan," kata Mohamed Jawhar. - DagangNews.com