AstraZeneca sedia akses capaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Malaysia melalui portal digital 'mySihatPal'  | DagangNews Skip to main content

AstraZeneca sedia akses capaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Malaysia melalui portal digital 'mySihatPal' 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - AstraZeneca, sebuah syarikat antarabangsa biofarmaseutikal bersama beberapa persatuan terkenal melancarkan portal kesihatan digital baharu, ‘mySihatPal’ yang mana ia menyediakan akses capaian perkhidmatan kesihatan kepada umum. 

 

Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan berkata, matlamat mereka adalah untuk berganding bahu dengan pihak dari pelbagai industri dengan tujuan yang sama, di dalam usaha menggiatkan kesaksamaan akses digital kesihatan melalui adaptasi teknologi digital di dalam bidang kesihatan di Malaysia. 

 

"Negara-negara lain di seluruh dunia telahpun mengalami anjakan paradigma digital di dalam bidang kesihatan dengan kadar yang agak pesat. Justeru itu, ia telah mengubah kaedah pelaksanaan penjagaan kesihatan, mewujudkan norma baharu di dalam penjagaan kesihatan dan membantu meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan lebih optimum. 

 

"Di seluruh dunia, pendigitalan dalam penjagaan kesihatan dengan pantas mengubah cara penjagaan kesihatan disampaikan, mewujudkan anjakan paradigma baharu dalam perjalanan pesakit dan akhirnya, meningkatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Vinod, pihaknya berhasrat untuk membantu rakyat Malaysia di dalam menggiatkan transformasi kesihatan dengan membantu menyediakan pelbagai rumusan termasuk rumusan digital sebagai langkah untuk menyokong keperluan pesakit, disamping memastikan inovasi kesihatan digital di Malaysia terus berkembang. 

 

Katanya, melalui portal mySihatPal dapat memberi manfaat kepada orang ramai serta mengambil inisiatif membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang penyakit dengan memastikan bahan rujukan peroleh dari sumber  dipercayai di samping meningkatkan pendedahan kepada fasiliti kesihatan, seterusnya dapat memastikan penjagaan yang lebih optimum.

 

Persatuan perubatan yang bekerjasama dalam menjayakan portal, termasuk Asthma Malaysia (AM), Bayi Pramatang Malaysia (BPM), Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM), Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan SLE Malaysia (PSLEM), Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia (MSGH) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). 

 

 

astrazeneca

 

 

mySihatPal adalah portal kesihatan yang inovatif serta komprehensif menyediakan akses terus kepada orang ramai dengan pelbagai perkhidmatan.

 

Ia meliputi maklumat penyakit, kandungan kesihatan, sambungan kepada penyedia kesihatan bersekutu, hospital swasta, klinik penjagaan primer, klinik kerajaan hingga kepada perundingan maya dengan profesional penjagaan kesihatan dan ahli farmasi untuk mendapatkan pandangan pakar – ini memastikan setiap orang mempunyai peluang yang saksama untuk mencapai tahap kesihatan tertinggi mereka.

 

 

astrazeneca

 

 

Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk kemajuan dalam penjagaan kesihatan, terdapat keperluan untuk merapatkan jurang antara pesakit dan profesional penjagaan kesihatan melalui pendigitalan. 

 

Salah satu halangan terbesar kepada kebolehcapaian penjagaan kesihatan ialah kedekatan pesakit dengan lokasi fizikal, menjadikannya perlu untuk mewujudkan portal sehenti untuk menghubungkan orang ramai kepada profesional penjagaan kesihatan untuk mendapatkan nasihat yang berkaitan.

 

 

astrazeneca

 

 

Portal mySihatPal dapat memenuhi permintaan ini dengan mewujudkan pintu masuk untuk orang ramai menjangkau pelbagai komuniti yang merangkumi profesional perubatan, masyarakat dan kemudahan penjagaan kesihatan dalam rangkaian penjagaan kesihatan. - DagangNews.com