Aurelius Technologies diunjur berdepan kelemahan operasi pada 1QFY24 akibat aktiviti pengurangan inventori pelanggan | DagangNews Skip to main content

Aurelius Technologies diunjur berdepan kelemahan operasi pada 1QFY24 akibat aktiviti pengurangan inventori pelanggan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Aurelius Technologies Berhad dijangka berdepan kelemahan operasi pada 1QFY24 (Februari-April 2023) akibat aktiviti pengurangan inventori pelanggannya. 

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, walaupun pelanggan menjangkakan pengeluaran meningkat semula apabila tahap inventori kembali normal, sesetengah pelanggan menjadi lebih berhati-hati dalam mengembalikan pesanan selepas bimbang dengan kemungkinan berlaku kemelesetan.

 

Firma itu berkata, aktiviti Permohonan Sebut Harga (RFQ) dan inisiatif produk baharu (NPI) daripada pelanggan baharu dijangka kukuh.

 

"Berikutan kisah kejayaan terbaharunya dalam mendapatkan tempahan baharu daripada pelanggan berkaitan automotif,  kumpulan itu kini dalam perbincangan terakhir dengan bakal pelanggan lain dalam industri berkaitan Kecerdasan Buatan (AI), yang menjangkakan akan mengambil kira-kira 100,000 kaki persegi ruang lantai kilang.

 

"Ia mendorong kumpulan itu menambah kawasan binaan Loji 5 kepada 300,000 kaki persegi, daripada pelan asal 200,000 kaki persegi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu kekal berhati-hati terhadap kemungkinan pesanan yang perlahan daripada pelanggan lama dan tidak menjangkakan sebarang risiko pendapatan utama pada ketika ini, kerana pelanggan lama biasanya mempunyai margin keuntungan yang lebih rendah.

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan bagi FY24 akan disokong oleh sumbangan setahun penuh daripada kapasiti baharu yang ditambah pada FY23 dan empat talian pengeluaran tambahan yang dijadualkan untuk penghantaran dalam pada FY24. 

 

"Berdasarkan perkiraan kami, kelewatan dalam satu penghantaran talian SMT sebanyak satu suku boleh mengakibatkan potensi kekurangan keuntungan bersih hampir RM1 juta," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.90 sesaham. - DagangNews.com