Azam Jaya Bhd memfailkan IPO di Pasaran Utama sasar kumpul dana beli peralatan baharu, modal kerja | DagangNews Skip to main content

Azam Jaya Bhd memfailkan IPO di Pasaran Utama sasar kumpul dana beli peralatan baharu, modal kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Azam Jaya Bhd, sebuah syarikat pembinaan berpangkalan di Sabah memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membeli peralatan dan menyediakan modal kerja bagi meneruskan projek lebih besar.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 78.8 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 50 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut draf prospektusnya yang disiarkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu akan menawarkan sehingga 26% kepentingan dalam syarikat itu.

 

"Kami berhasrat memperoleh jentera dan peralatan pembinaan seperti jengkaut, trak sampah, penggred motor, jentolak dan kenderaan kakitangan seperti trak ringan," kata syarikat itu.

 

Katanya, ia merancang untuk membelanjakan kira-kira RM30 juta sehingga akhir 2025 bagi memperoleh peralatan pembinaan dan kenderaan kakitangan.

 

Syarikat itu telah memperuntukkan RM2.5 juta sehingga akhir 2025 bagi menambah bilangan kenderaan pembinaan yang dilengkapi modul kawalan kenderaan autonomi kepada sembilan kenderaan serta membeli satu dron dan empat set pertama peralatan ukur.

 

Azam Jaya terlibat dengan pembiaan infrastruktur jalan raya, lebuh raya, jambatan, jejambat dan terowong di Sabah. Syarikat itu kini sedang mengusahakan lapan projek dengan nilai kontrak belum dibil berjumlah RM1.08 bilion.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM25.98 juta dengan hasil RM280.77 juta.

 

Azam Jaya menceburi bidang pembangunan hartanah perindustrian pada 2015 melalui taman “The Factory @ Inanam” dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM89.38 juta. 

 

Syarikat itu bagaimanapun tidak berhasrat untuk menjalankan sebarang projek pembangunan hartanah pada masa hadapan.

 

Di bawah terbitan awam, Azam Jaya memperuntukkan 25 juta saham baharu kepada orang awam Malaysia dan 10 juta saham kepada orang yang layak. Syarikat itu juga mengetepikan 43.8 juta saham baharu kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Syarikat itu juga memperuntukkan sebahagian daripada hasil sebagai modal kerja bagi mengurangkan pergantungan pada kemudahan kredit untuk obligasi kontrak, serta untuk membayar sebahagian pinjaman bank. Selebihnya akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Tranche tawaran untuk jualan pula akan dilakukan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih. Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan terakru sepenuhnya kepada pengerusi Tan Sri Joseph Lo @ Lo Tain Foh dan anaknya Datuk Jonathan Lo Chaw Loong, yang juga pengarah urusan Azam Jaya. - DagangNews.com