B40, M40 makin resah tekanan kos sara hidup, SPCAAM mahu Bank Negara campur tangan isu ketidakseimbangan pendapatan  | DagangNews Skip to main content

B40, M40 makin resah tekanan kos sara hidup, SPCAAM mahu Bank Negara campur tangan isu ketidakseimbangan pendapatan 

Walaupun ringgit yang lemah boleh memberi manfaat kepada pengeksport, namun ia mendorong inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi. /Gambar hiasan Yuri Krupenin
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Feb - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mahu Bank Negara Malaysia (BNM) campur tangan dalam soal peningkatan kekayaan dan pendapatan yang didakwa tidak seimbang di tengah-tengah tekanan kos sara hidup rakyat semakin memuncak.

 

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D'Angelus mendakwa, tahap pendapatan eksekutif kanan syarikat tersenarai awam yang kebanyakannya milik kerajaan meningkat secara tidak seimbang berbanding pertumbuhan ekonomi negara.

 

Katanya, ukuran prestasi untuk individu ini, yang terikat dengan pakej pampasan mereka sangat berat sebelah dan tidak wajar kerana ini seumpama satu bentuk penipuan yang dilakukan terhadap ekonomi dan rakyat biasa.

 

"BNM mempunyai bidang kuasa dan kekuatan untuk campur tangan dan menerusi dasar yang tepat oleh institusi akan dapat memperbetulkan ketidakseimbangan ini. 

 

"Adalah penting bahawa bank pusat berbuat demikian melibatkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia," katanya dalam kenyataan media hari ini. 

 

Dakwa D'Angelus, merompak orang miskin dan menjarah sumber negara untuk melayani kepentingan orang kaya, syarikat besar dan ahli politik yang korup bakal memacu negara ke jurang.

 

"Apa yang diperlukan juga untuk memperbetulkan trajektori negara ialah suara rakyat. 

 

"Kita tidak boleh mengharapkan penerima sistem yang korup untuk membuat sebarang perubahan yang akan melucutkan mereka dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat jelata. 

 

"Kerajaan, dalam menjanjikan pembaharuan, mesti menerajui dan berusaha untuk menjauhi kepentingan perniagaan semata-mata," jelasnya.

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kejatuhan ringgit berbanding dolar AS, seperti juga beberapa mata wang lain di negara membangun, tidak dapat dinafikan sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar faedah yang tinggi di AS di mana dolar masih berfungsi sebagai de facto mata wang rizab dunia.

 

Katanya, walaupun ringgit yang lemah boleh memberi manfaat kepada pengeksport, namun ia mendorong inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi. 

 

"Kesannya paling dirasai oleh golongan miskin di negara ini, dengan pendapatan boleh guna yang sedikit atau tiada.

 

"Krisis kos sara hidup yang sudah meruncing, seperti yang diakui oleh kerajaan, oleh itu semakin buruk dari hari ke hari. 

 

"Oleh itu, apakah yang sedang dilakukan, melalui instrumen dasar, untuk mengurangkan kesusahan ekonomi golongan miskin?," ujarnya.

 

Kata D'Angelus, BNM memetik penunjuk dan memuntahkan unjuran ekonomi secara agregat tetapi bagaimanakah ini memberi kesan kepada kelompok B40 dan M40.

 

"Jika benar ekonomi sedang berkembang, adakah paras pendapatan sebenar penduduk berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini turut meningkat? 

 

"Apa yang nyata ialah terdapat peningkatan kekayaan dan ketidaksamaan pendapatan di negara ini," jelasnya.- DagangNews.com