Badan hak asasi manusia bimbang kelewatan berlarutan dalam melantik pengerusi Suhakam | DagangNews Skip to main content

Badan hak asasi manusia bimbang kelewatan berlarutan dalam melantik pengerusi Suhakam

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)  bimbang terhadap kelewatan berlarutan pihak kerajaan dalam melantik pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). 

 

Pengerusi dan Pengasas CENTHRA, Azril Mohd Amin berkata, kelewatan itu boleh menjejaskan keupayaan Malaysia dalam menyumbang secara aktif dan mempertingkakan hak asasi manusia di peringkat domestik dan antarabangsa.

 

Katanya, dalam Malaysia menghampiri penghujung keahliannya dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi penggal 2022-2024, CENTHRA berasa pelik dan gusar kerana Suhakam kekal tanpa pengerusi sehingga hari ini.

 

Menurut beliau, melantik seorang pemimpin yang kuat dan komited adalah penting untuk memastikan Suhakam dapat terus memenuhi mandatnya dengan berkesan dan menyumbang secara substantif terhadap apa jua perbincangan mengenai hak asasi manusia sejagat.

 

"Esok (25 Januari), Malaysia dijadualkan untuk menyertai Kajian Berkala Sejagat (UPR) kitaran ke-4 UNHRC di Geneva. Kajian semula ini merupakan peluang kritikal bagi menilai dan menangani landskap hak asasi manusia di negara ini secara menyeluruh.

 

"Walau bagaimanapun, ketiadaan pengerusi Suhakam bukan sahaja merupakan satu kesilapan yang besar tetapi juga menjadi penghalang bagi penyertaan efektif dan berkesan Malaysia dalam forum dunia yang penting ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

centhra
Pengerusi dan Pengasas CENTHRA, Azril Mohd Amin

 

Jawatan Pengerusi Suhakam sudah lima bulan kosong susulan peletakan jawatan Datuk Dr Rahmat Mohamad daripada menerajui suruhanjaya itu pada Ogos tahun lalu.

 

Azril berkata, CENTHRA turut bimbang mengenai ketiadaan perwakilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana institusi atau agensi Islam dalam semakan UPR kali ini. 

 

"Adakah pandangan dan perspektif umat Islam diketepikan dalam kajian menyeluruh hak asasi manusia oleh kerajaan? Adakah kerajaan sengaja mengabaikan agensi Islam sebagai penyumbang penting terhadap dialog antarabangsa mengenai hak asasi manusia? 

 

"Semua ini bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk menegakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan," soalnya.

 

Sehubungan itu, Azril berkata, CENTHRA menyeru kerajaan Malaysia untuk mengutamakan perlantikan Pengerusi Suhakam yang baharu tanpa berlengah lagi bagi menghormati komitmen antarabangsa dan menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh organisasi hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa.

 

"Rakyat Malaysia berhak dipimpin oleh kerajaan yang benar-benar menjunjung dan melindungi hak asasi mereka. Pihak berwajib mesti bertindak pantas dalam mengatasi semua masalah kritikal ini," jelasnya. - DagangNews.com