Bajet 2023 : Kerajaan mungkin perkenal langkah khusus tangani kelemahan ringgit, GST pula hanya akan kembali pada 2024  | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Kerajaan mungkin perkenal langkah khusus tangani kelemahan ringgit, GST pula hanya akan kembali pada 2024 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Sept - Kerajaan dijangka memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2024 dengan Cukai Makmur mungkin dilanjutkan sehingga 2023, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB). 

 

Sebelum ini, GST pernah dilaksanakan pada 1 April 2015 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum dimansuhkan tiga tahun kemudian apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). 

 

Cukai itu kemudiannya digantikan dengan pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

 

"Kami tidak menjangkakan GST akan dilaksanakan pada 2023 memandangkan kerajaan perlu menguruskan tekanan inflasi dengan memperkenalkan subsidi bersasar berbanding 'blanket' ketika ini, dengan pelarasan tehadap harga bahan api pada tahun hadapan. 

 

"Tetapi kami tidak menolak beberapa 'mesej' yang ditunjukkan dalam Bajet 2023 untuk menyediakan pengguna dan perniagaan tentang keperluan, dan dengan itu kemungkinan kepulanganan semula GST pada 2024 iaitu selepas pilihan raya umum akan datang," katanya dalam nota kajian bertarikh 25 September 2022.

 

bajet2023

 

Namun, menurut firma itu, jika memperkenalkan semula GST memberi impak yang besar kepada politik untuk ditanggung mana-mana kerajaan hari ini, atau pentadbiran PH memenangi pilihan raya umum akan datang menyatakan bantahan terhadap GST, maka jalan alternatif adalah meneruskan SST sedia ada.

 

Katanya, SST boleh diperluaskan pangkalan dan liputan secara progresif mengikut cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran barangan termasuk platform e-dagang pada 1 Julai 2022, serta Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 yang mengemas kini Akta Cukai Jualan 2018 untuk mengenakan 10% cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah (RM500 dan ke bawah) yang dijual oleh penjual berdaftar melalui platform dalam talian dan dihantar ke Malaysia bermula 1 Januari 2023.

 

"Keadaan sebegitu juga akan meningkatkan prospek pencukaian ke atas kekayaan dan keuntungan modal pada masa hadapan, menambah kepada cadangan pengembalian semula pencukaian Bajet 2022 ke atas pendapatan sumber asing yang kini ditangguhkan sehingga 31 Disember 2026," jelasnya.

 

 

MOF

 

 

Cukai Makmur

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, terdapat kemungkinan Cukai Makmur akan dilanjutkan pada 2023 setelah ia diumumkan kali pertama dalam pembentangan Bajet 2022.

 

Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini menyatakan bahawa cukai itu dikenakan sekali sahaja dalam Bajet 2022 iaitu 33% ke atas syarikat yang berpendapatan bercukai melebihi RM100 juta untuk tahun taksiran 2022.

 

"Kami juga mengambil maklum pindaan Rang Undang-undang Levi Keuntungan (Pindaan) 2022 pada sesi Parlimen yang lalu, termasuk membenarkan MoF 'menambah, mengurangkan atau menukar mana-mana terma dan syarat yang dikenakan, dengan syarat notis munasabah diberikan kepada individu yang terikat dengan terma dan syarat tersebut'.

 

"Ini menunjukkan kepada risiko dasar untuk memasukkan semua atau sektor/industri terpilih yang tertakluk kepada Cukai Makmur tahun ini ke dalam Akta Levi Keuntungan yang pada masa ini hanya terpakai kepada sektor perladangan," katanya.

 

Selain itu, firma itu juga menjangkakan kerajaan akan memperkenalkan Cukai Global sebanyak 15% terhadap syarikat multinasional (MNC) dengan kemungkinan pengenalan Cukai Tambah Nilai Minimum Dalam Negeri yang Layak (QDMTT), di mana jika keuntungan MNC dalam bidang kuasa dikenakan cukai di bawah kadar cukai global sebanyak 15%, cukai tambah nilai akan dikenakan.

 

Secara keseluruhan, ia menjangkakan Bajet 2023 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini adalah 'kurang mengembang' dengan defisit bajet menurun kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas berada di antara 6% hingga 6.4% daripada KDNK pada 2020-2022 untuk memulakan konsolidasi fiskal jangka sederhana untuk menurunkan defisit bajet kepada 3.5% daripada KDNK menjelang 2025.

 

Firma tersebut mendapati terdapat dua faktor utama yang menyebabkan defisit bajet lebih rendah pada 2023 memandangkan Dana COVID-19 yang berakhir, menyumbang satu pertiga daripada defisit bajet antara 2020-2022.

 

Selain itu, ia juga disebabkan subsidi bahan api yang lebih rendah, justeru, pertumbuhan perbelanjaan operasi lebih rendah dengan jangkaan peralihan kepada subsidi bersasar memandangkan Bajet 2023 akan mengunjurkan harga minyak mentah sekitar AS$80 hingga AS$90 setong pada tahun hadapan berbanding AS$100 hingga AS$120 setong tahun ini. 

 

 

ringgit

 

 

Ringgit

 

Maybank IB turut berpendapat, kerajaan kemungkinan akan mengambil langkah khusus dalam Bajet 2023 bagi menangani kelemahan ringgit yang setakat ini sudah mencecah RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Menurutnya, menambat ringgit dan kawalan modal seperti yang pernah dilaksanakan pada 1998 adalah di luar persoalan.

 

"Satu langkah yang berpotensi dalam Bajet 2023 untuk menstabilkan ringgit ialah arahan kerajaan untuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) menghantar pulang keuntungan dan pendapatan pelaburan mereka ke luar negara.

 

"Ini termasuklah keperluan 'memperlahankan' pendedahan secara langsung dan portfolio pelaburan di luar negara," jelasnya.

 

Setakat 23 September lalu, ringgit ditutup pada RM4.58 berbanding dolar AS, susut 9% setakat ini, terendah sejak penutupan 13 Januari 1998 pada RM4.6145. 

 

Kelemahan ringgit ini berlaku di tengah-tengah pengukuhan dolar AS berikutan kenaikan secara agresif kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

 

 

Parlimen Malaysia

 

 

Pilihan raya umum

 

Mengenai PRU-15, firma itu menjangkakan terdapat peluang yang tipis ia akan diadakan akhir tahun ini berikutan musim tengkujuh yang akan melanda sekitar pertengahan November 2022 hingga awal 2023. 

 

"Tarikh pembentangan Bajet 2023 yang diawalkan kepada 7 Oktober daripada 28 Oktober sebelum ini semakin meningkatkan khabar angin bahawa PRU-15 akan diadakan sebelum akhir tahun ini. 

 

"Menambah lagi sentimen ini, tarikh sidang Parlimen juga diawalkan kepada 3 Oktober hingga 29 November 2022 berbanding sebelum ini, 26 Oktober hingga 15 Disember 2022," katanya.

 

Tempoh semasa penggal penuh lima tahun sepatutnya berakhir 16 Julai 2023 apabila Parlimen akan 'secara automatik dibubarkan' dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran. - DagangNews.com