Bank digital baharu perlu fokus bantu PKS - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

Bank digital baharu perlu fokus bantu PKS - SAMENTA

Datuk William Ng
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 April - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berharap bank-bank digital baru dapat menumpukan perhatian mereka kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya perniagaan mikro dan dalam talian yang kini kurang mendapat perkhidmatan. 

 

Mereka yang menerima lesen bank digital hari ini adalah:

 

•    konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd;


•    konsortium yang diketuai oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd


•    konsortium yang diketuai oleh Sea Ltd dan YTL Digital Capital Sdn Bhd


•    konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc


•    konsortium yang diketuai oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Bank Negara Malaysia dan lima pemohon lesen perbankan digital yang berjaya.

 

"Kami juga berharap dengan pengenalan bank-bank digital ini, kos perbankan dan pembiayaan akan turun, dan permohonan dan kelulusan pembiayaan dapat dipercepatkan.

 

"Pelesenan bank-bank digital ini merupakan satu langkah besar ke hadapan bagi industri kewangan negara, dan syabas diucapkan kepada Bank Negara kerana mengambil langkah berani ini untuk terus meliberalisasikan akses kepada perbankan dan kewangan untuk semua rakyat Malaysia. 

 

"Kami berharap Bank Negara dapat mempercepatkan peralihan daripada model perbankan diterajui pengawalseliaan kepada model perbankan yang dipacu pasaran, supaya peserta pasaran dapat menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih relevan, khusus dan tepat pada masanya kepada perniagaan, tanpa mengorbankan integriti sistem dan infrastruktur kewangan negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan bank-bank digital baharu untuk menyasarkan PKS yang kurang mendapat perkhidmatan, dan menyediakan produk yang selamat, mudah diakses dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan dan daya saing PKS. - DagangNews.com