Bank digital bukan 'ancaman' kepada sistem perbankan sedia ada - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bank digital bukan 'ancaman' kepada sistem perbankan sedia ada - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pemberian 5 lesen perbankan digital seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat lalu, bukanlah satu 'ancaman' kepada sektor perbankan sedia ada, demikian menurut firma-firma penyelidikan.

 

Sebaliknya, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chan Jit Hoong berkata, ia mampu bergerak bersama secara harmoni dengan saling melengkapi perkhidmatan yang ditawarkan sistem perbankan di negara ini. 

 

Ini kerana katanya, matlamat penubuhan bank digital adalah untuk menangani segmen yang kurang diberi tumpuan, yang belum menjadi keutamaan kepada bank klasik.

 

"Malah, gabungan aset 5 pemegang lesen bank digital ini (sebanyak RM15 bilion) kemungkinan hanya menghakis kurang daripada 1% bahagian dalam sistem pembiayaan, yang secara dasarnya adalah kurang ketara.

 

"Kami menganggarkan setiap 1% dalam kelembapan pertumbuhan pembiayaan akan mengurangkan hasil sektor ini sebanyak 0.5%," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Pada Jumaat lalu, BNM menganugerahkan lesen bank digital kepada 5 konsortium yang dibentuk syarikat berkaitan kewangan.

 

Tiga daripada penerima iaitu konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan konsortium yang diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital akna dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).

 

Bagi 2 lagi penerima, ia adalah konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc; serta konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd yang akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

 

Berikutan pengumuman tersebut, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi. Proses ini mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan.

 

Baca : 5 konsortium raih lesen bank digital BNM, gandingan Boost-RHB tepati ramalan

 

Mengulas lebih lanjut, Jit Hoong berkata, bank sedia ada sudah pun melengkapkan diri mereka lebih awal dengan memulakan projek transformasi digital untuk beralih daripada paradigma perniagaan yang ketinggalan zaman.

 

"Memandangkan lembaran imbangan bank konvensional yang lebih besar, mereka mempunyai lebih banyak ruang belanjawan berdasarkan asas monetari mutlak untuk berbelanja dan berinovasi berbanding bank digital," jelasnya.

 

Beliau memberikan contoh perkembangan bank digital di China dan Korea Selatan yang mengambil masa kira-kira 1 hingga 2 tahun daripada penubuhannya untuk mencatat keuntungan. 

 

Katanya, walaupun selepas 4 hingga 6 tahun beroperasi, pertumbuhan bagi segmen pembiayaan dan deposit juga kekal sekitar 30 hingga 50% setahun. 

 

"Ini menunjukkan, bank digital di kedua-dua negara ini hanya memperoleh kurang daripada 3% bahagian pasaran dalam sistem pembiayaan dan deposit," katanya.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng berkata, pemberian lesen perbankan digital dijangka tidak mengubah secara material landskap kompetitif sektor perbankan dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang.

 

Jelasnya, ini berdasarkan kepada matlamat utama bank digital yang hanya menawarkan produk atau perkhidmatan kepada segmen kurang diberi tumpuan, yang bukan menjadi sasaran pasaran kepada bank sedia ada.

 

"Pada masa sama, saiz aset bank digital baharu ini juga terhad dengan maksimum RM3 bilion bagi setiap bank dalam tempoh 3 hingga 5 tahun selepas ditubuhkan. 

 

"Selain itu, bank sedia ada juga telah menubuhkan perniagaan francais dan sistem perbankan digital untuk bersaing dengan pemain baharu," jelasnya.

 

 

RHB Bank

 

 

Kekal pandangan 'overweight'

 


Secara keseluruhan, ia menyaksikan HLIB dan CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan. 

 

Bagi HLIB, pemberian lesen bank digital kepada Axiata Group Bhd. (menerusi Boost), RHB Bank Bhd. dan YTL Power International Bhd. (menerusi YTL Digital Capital) bukanlah sesuatu yang mengejutkan. 

 

Ini kerana menurutnya, mereka memiliki asas yang kukuh bukan sahaja dalam ruang kewangan, tetapi juga telekomunikasi dan juga teknologi, yang merupakan rahsia kejayaan kepada negara jiran.

 

"Untuk syarikat di bawah liputan kami, penerima manfaat adalah Axiata (dengan saranan 'pegang' pada harga sasaran (TP) RM4.03) diikuti RHB Bank (saranan 'beli', TP RM7) dan YTL Power (saranan 'beli', TP RM1.05). 

 

"Walaupun mereka memiliki prospek yang cerah, tetapi kami masih belum lagi membuat penilaian terhadap trio ini, sebelum mengetahui lebih lanjut mengenai pelan dan strategi perniagaan mereka selanjutnya," tambahnya.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB berkata, RHB Bank adalah satu-satunya bank Malaysia yang memperoleh lesen bank digital (menerusi kerjasama dengan Boost) dengan pegangan 40% dalam konsortium tersebut.

 

Katanya, dalam tempoh jangka pendek, usaha sama ini adalah negatif kepada RHB Bank disebabkan potensi berlakunya kerugian operasi dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.

 

Bagaimanapun, menurutnya, kerugian bersih ini adalah rendah setiap tahun dengan anggaran sekitar RM30 hingga RM50 juta bagi bank digital (berbanding modal berbayar sebanyak RM100 juta), yang mana kerugiannya bersihnya diunjur RM12 hingga RM20 juta, merangkumi hanya 0.3 hingga 0.6% daripada anggaran untung bersih bagi tahun kewangan 2023. 

 

"Namun, kami menjangkakan, usaha sama ini akan kembali positif dalam tempoh jangka masa panjang apabila bank digital ini mula mencatat keuntungan.

 

"Tambahan pula, ia membolehkan RHB Bank mempelajari cara menjalankan bank digital tulen, yang boleh membantunya meningkatkan operasi sedia ada," jelasnya. - DagangNews.com