Bank Pembangunan beri kemudahan pembiayaan RM2.7 bilion kepada Prolintas | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan beri kemudahan pembiayaan RM2.7 bilion kepada Prolintas

Roni Abdulwahab (kiri) dan Mohammad Azlan Abdullah bertukar dokumen berkaitan kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jan - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memberikan kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM2.7 bilion kepada Prolintas Managers Sdn Bhd, syarikat milik penuh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS). 

 

Pembiayaan ini berfungsi membantu penstrukturan semula Kumpulan PROLINTAS yang melibatkan empat konsesinya termasuk Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH).

 

Tiga lagi ialah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

 


Kumpulan PROLINTAS telah memulakan inisiatif penstrukturan semula konsesi untuk memastikan lebuh raya kekal mampan dan tidak membebankan pengguna menerusi pengurangan kadar tol, kata kenyataan media bersama yang dikeluarkan kedua-dua pihak hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, menjadi komitmen Bank Pembangunan untuk menyediakan modal yang memberi impak kepada pembangunan negara di samping memperkukuh pelaburan infrastruktur jangka panjang.

 

"Kesemua lebuh raya ini sangat penting dalam rangkaian jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar di sekitarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, inisiatif pembiayaan ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat menerusi pengurangan kadar tol. 

 

"Di PROLINTAS, kami komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik. 

 

"Pembiayaan BPMB akan membantu kami menyediakan akses perhubungan kepada komuniti, menyokong pembangunan ekonomi dan menyusun semula hutang,” jelas Mohammad Azlan.- DagangNews.com