Bank Pembangunan sumbang bantuan makanan bernilai RM114,400 menerusi inisiatif dapur jalanan kepada golongan memerlukan | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan sumbang bantuan makanan bernilai RM114,400 menerusi inisiatif dapur jalanan kepada golongan memerlukan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) meneruskan komitmennya terhadap inisiatif dapur jalanan yang dijalankan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) menerusi sumbangan berjumlah RM114,400 bagi membantu membiayai penyediaan makanan untuk golongan kurang berkemampuan di ibu negara.

 

Inisiatif ini selari dengan misi BPMB untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan impak sosial yang positif. 

 

Dalam memainkan peranannya sebagai rakan pembangunan negara, BPMB sedar akan kepentingan pembangunan inklusif dengan menyokong dan membantu anggota masyarakat yang kurang mendapat perhatian.

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia BPMB, Datin Sainursalwa Sani berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah sebahagian daripada identiti BPMB dan pihaknya ingin terus menyokong komuniti terpinggir dan terjejas. 

 

"Dalam kami meraikan tahun ulang tahun BPMB yang ke-50, kami berpegang kepada amanah untuk menyediakan modal berimpak untuk pembangunan negara bagi mengurangkan jurang perbezaan dalam masyarakat. 

 

"Penglibatan kami dalam inisiatif dapur jalanan Pertiwi mencerminkan komitmen kami ke arah tujuan ini dan meringankan penderitaan yang dialami oleh golongan ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selain menangani isu kemiskinan bandar yang mendesak di Kuala Lumpur, penglibatan BPMB dalam program tersebut bertujuan menggalakkan semangat sukarelawan dalam kalangan warga kerjanya. 

 

 

bpmb

 

 

Melalui inisiatif ini, warga kerja BPMB dapat berganding bahu dan memupuk hubungan kerja yang lebih kukuh dalam organisasi dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

 

Inisiatif ini akan dijalankan untuk tempoh satu tahun dan akan dilaksanakan setiap minggu sehingga Oktober 2024. Ia melibatkan penyediaan makanan untuk golongan miskin bandar bagi memastikan pemakanan golongan tersebut terpelihara.

 

Ini merupakan kali kedua BPMB menjalinkan kerjasama dengan Pertiwi berikutan kejayaan pelaksanaan program yang serupa antara Oktober 2022 hingga Mei 2023, yang mana BPMB telah menyediakan makanan tengah hari dan malam kepada golongan miskin bandar di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di Kuala Lumpur. - DagangNews.com