Batal konsert Coldplay: PM Anwar bincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan | DagangNews Skip to main content

Batal konsert Coldplay: PM Anwar bincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung gesaan terhadap penganjur untuk membatalkan konsert 'Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur' yang dijadualkan berlangsung esok.

 

Menurut Perdana Menteri, band berasal dari United Kingdom (UK) itu antara kumpulan yang menyokong Palestin.

 

"Jadi ada masalah sikit, nak beritahu dalam kerajaan yang lalu telah luluskan juga.

 

"Saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini (penganjuran konsert) kerana ada pelobi-pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) dan juga di pejabat saya, menyatakan mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

 

"Tetapi kalau perkara ini dibangkitkan kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita setuju itu, akan saya bincang semula," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pendirian kerajaan berhubung penganjuran konsert Coldplay dan semua persembahan konsert lain.

 

Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah baru-baru ini, menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November.

 

 

mufti
Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah

 

 

Katanya, kumpulan muzik itu juga menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

 

Perdana Menteri sebelum ini juga mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock terkenal British itu yang akan menjayakan konsert mereka di Kuala Lumpur.

 

 

PM

 

 

"Selamat datang ke Kuala Lumpur!" tulis Anwar ringkas di platform X pada 9 Mei lalu.

 

Ramai yang mengalu-alukan kedatangan Coldplay itu malah ada yang meminta agar harga tiket Rahmah disediakan untuk konsert mega tersebut. - DagangNews.com