BDB, dua subsidiari dituntut bayar pelbagai ganti rugi lebih RM7 juta akibat bola golf tersasar masuk rumah | DagangNews Skip to main content

BDB, dua subsidiari dituntut bayar pelbagai ganti rugi lebih RM7 juta akibat bola golf tersasar masuk rumah

BDB Darulaman Golf Resort mempunyai padang golf 18 lubang dengan keluasan 190 ekar. Gambar laman web BDBGR
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Bina Darulaman Berhad (BDB) dan dua anak syarikatnya termasuk BDB Darulaman Golf Resort Berhad (BDGRB) dituntut membayar pelbagai ganti rugi melebihi RM7 juta oleh seorang pemilik rumah di Bandar Darulaman, Jitra kerana mendakwa bola golf dari kelab itu tersasar ke dalam kediamannya.

 

Menerusi pemakluman kepada Bursa Malaysia, BDB berkata, plaintif, Mohd Nazli Ahmad Mahyadin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan mendakwa beliau berhadapan kekurangan penggunaan dan keseronokan hartanya disebabkan bola golf yang tersasar ke dalam hartanya.

 

Dalam penyata tuntutan yang difailkan pada 6 Jun 2024 itu, BDB berkata, plaintif mendakwa situasi tersebut telah menyebabkan kerugian dan kerosakan selama kira-kira 5 tahun sejak 2019.

 

 

BDGRB, BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) dan BDB dinamakan sebagai defendan dalam tindakan ini.

 

"Plaintif menuntut pelbagai relief deklaratori serta kerosakan berikut iaitu ganti rugi am sebanyak RM1 juta; ganti rugi khas; ganti rugi  Exemplary RM3 juta; ganti rugi Aggravated RM3 juta; relief lain yang dianggap sesuai oleh Mahkamah dan faedah sebanyak 5% setahun daripada tarikh penghakiman dan kos," katanya semalam.

 

Dalam laman webnya, BDGRB mempunyai padang golf 18 lubang yang bertaraf antarabangsa dengan keluasan 190 ekar.

 

Jelas BDB, dalam pembelaan yang difailkan menerusi peguam dari Tetuan Laili & Co pada 3 Julai 2024, pihak defendan menafikan semua dakwaan berkenaan dan dengan tegas meminta plaintif membuktikan segala dakwaan yang dikemukakan.

 

Menurut BDB, plaintif adalah pemilik berdaftar bagi sebuah hartanah dengan No. Hakmilik 102964, Lot 1437, Bandar Darul Aman, Daerah Kubang Pasu, Negeri Kedah di No.159 Jalan Indah 3, Suasana Indah, Bandar Darulaman, Jitra Kedah.

 

"BDGRB adalah defendan pertama yang terlibat dalam perniagaan golf dan pelancongan; BDB Land adalah defendan kedua iaitu pemilik berdaftar bagi hartanah dikenali sebagai No. Hakmilik 42474, Lot 898, Bandar Darul Aman, Daerah Kubang Pasu, Negeri Kedah yang terlibat dalam perniagaan rekreasi yang memiliki padang golf dan kemudahan lain; dan BDB adalah defendan ketigaiaitu Syarikat Pegangan Terakhir kepada defendan pertama.

 

BDB
BDBGR merupakan pada golf 18 lubang yang terletak di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah. Gambar BDBGR

 

"Plaintif mendakwa terdapat kekurangan penggunaan dan keseronokan hartanya terhadap defendan pertama dan kedua berdasarkan perkara berikut: a) Bahawa bola golf telah masuk ke dalam hartanya secara tidak sah dan menghalangnya daripada menggunakan dan menikmati hartanya; dan b) Bahawa akibatnya, plaintif mengalami kerugian dan kerosakan.

 

"Plaintif melalui firma guaman Nashitoh Kassim & Associates telah menyampaikan Notis Tuntutan bertarikh 25/10/2020 yang menuntut penyelesaian jangka panjang dengan membina jaringan keselamatan dengan ukuran yang munasabah," jelasnya.

 

Menurut pemakluman itu, walaupun BDB selaku defendan ketiga tidak terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan perniagaan kelab golf, mereka telah membalas Notis Tuntutan pada 8 November 2020 dengan memaklumkan defendan pertama telah mengambil maklum aduan yang dibuat dan akan memulakan siasatan lanjut setelah dokumen lengkap diterima daripada plaintif.

 

"Defendan pertama (BDGRB) pada Disember 2020 telah menaikkan ketinggian jaringan keselamatan kepada 28 kaki dan lebar 80 kaki di lubang 7 berhampiran hartanah plaintif sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan bola golf memasuki hartanah plaintif," ujarnya.

 

BDB menangguhkan pengumuman ini untuk mengelakkan sebarang prejudis dalam mengejar objektifnya untuk meneroka mediasi dengan plaintif setelah peringkat pembelaan ditutup.

 

"Pengarah telah mengarahkan peguam untuk mengambil semua tindakan undang-undang yang sesuai bagi mempertahankan kepentingan, kedudukan baik, dan ketidakbersalahan BDB serta anak-anak syarikatnya. 

 

"Pengurusan Kes telah dijadualkan pada 4 Ogos 2024 di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan mediasi bagi kes ini. Kes ini dijadualkan untuk mediasi pada 26 September 2024 di Pusat Mediasi Mahkamah Alor Setar," kata BDB kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com