Bekas CEO MARii Madani Sahari didakwa lagi atas pertuduhan salah guna kuasa RM1.63 juta | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO MARii Madani Sahari didakwa lagi atas pertuduhan salah guna kuasa RM1.63 juta

Bekas ketua pegawai eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Internet Perkara Malaysia (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari.

KUALA LUMPUR 30 Jan - Datuk Mohamad Madani Sahari dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan salah guna dana syarikat yang dilakukannya ketika masih menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kira-kira tiga tahun lalu.

 

Dalam prosiding hari ini, Mohamad Madani, 57, berdepan 17 pertuduhan salah guna dana syarikat berjumlah RM1.63 juta yang dilakukan pada 2020 dan 2021.

 

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

 

Mengikut semua pertuduhan, Mohamad Madani didakwa secara tidak jujur menyalahguna harta milik MARii keseluruhan berjumlah RM1,630,200 melalui Cek LPS Learning Platform untuk membuat bayaran rawatan sel stem 500,000,000 di VHG Wellness.

 

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah cawangan bank di Seksyen 20 Shah Alam antara 13 Julai 2020 hingga 26 April 2021.

 

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh penjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi selama lima tahun dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas CEO MARii Madani Sahari dihadapkan lagi ke mahkamah, didakwa tipu Lembaga Pengarah RM6.4 juta

 

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memohon untuk mengguna pakai jaminan berjumlah RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah yang dikenakan terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

 

"Kami juga memohon kes ini dipindah untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur," katanya.

 

Peguam yang mewakili tertuduh, Rahmat Mohamed Hazlan dan Wan Aizuddin Wan Mohammed tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

 

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Februari depan (di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur).

 

Susulan pendakwaan hari ini, Mohamad Madani telah dihadapkan enam kali di mahkamah dengan tiga kali di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dua kali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan sekali di Mahkamah Sesyen Alor Setar.

 

Kesemua pertuduhan ke atas bekas CEO MARii itu membabitkan kes rasuah, pengubahan wang aktiviti haram dan penipuan membabitkan kontrak antara 14 April tahun lalu hingga semalam. 

 

Pada 14 April tahun lalu, Mohamad Madani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta pada 8 Julai 2021.

 

Dia kemudian dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM5 juta yang didakwa dilakukan sekitar Mei 2021.

 

Dua hari selepas itu, Mohamad Madani kembali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi berdepan sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan transaksi RM4 juta pada 2021 dan 2022.

 

Mohamad Madani juga berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 24 Mei tahun lalu atas pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.038 juta pada 2021 dan 2022.

 

Semalam, tertuduh  didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menipu Lembaga Pengarah MARii bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta, lima tahun lalu.-- DagangNews.com