Berhentilah bergasak sesama sendiri, fokus pada rakyat | DagangNews Skip to main content

Berhentilah bergasak sesama sendiri, fokus pada rakyat

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

JANGAN lupakan 2021 kerana keperitannya. Tapi ingat 2021 atas pengajarannya. Ini bukan kata hikmah mana-mana cendekiawan. Saya reka sebagai mukadimah Merrepak pertama saya bagi tahun 2022 ini. Selamat Tahun Baharu semua pembaca yang dihormati sekalian!

 

Sebelum menyorot peristiwa di dalam negara, saya ingin sekilas pantas mengajak anda beralih pandangan ke Amerika Syarikat atau USA yang mengaku sebagai kuasa dunia (kalau tanya China, jawapan berbeza) dan pemegang obor demokrasi alam sejagat.

 

Tidak mengapa jika anda terlupa apa yang berlaku di ibu negara Amerika Syarikat pada 6 Januari 2021. Kita ketika itu pun sibuk dengan hal sendiri. Kes COVID-19 mencanak-canak, vaksin hujung Februari baharu hendak sampai.

 

Pada 6 Januari 2021, dunia menyaksikan dan tergamam bila Presiden Donald Trump membakar semangat para penyokongnya dengan slogan `Stop The Steal’ (Hentikan Pencurian) iaitu apa yang didakwanya sebagai penipuan undi pada November 2020 yang menyaksikannya tewas di tangan calon Demokrat, Joe Biden.

 

Trump membakar dengan bukan sebarang retorik tetapi lebih mirip kepada menghasut penyokongnya menyerbu bangunan Capitol di Washington, D.C. Ia serupa Parlimen kitalah.

 

Tujuannya ialah supaya sesi Kongres yang berlangsung bagi mengesahkan kemenangan Joe Biden tidak boleh diteruskan. Puluhan ribuan penyokongnya mengepung Washington dan ada yang lengkap bersenjata.


 

PM
ANGGOTA keselamatan menghadang pintu masuk sambil mengacukan pistol terhadap perusuh di Capitol, Washington DC.

 

Cubaan pihak keselamatan menutup pintu masuk ke kawasan Capitol gagal walaupun tembakan dilepaskan. Malah anggota keselamatan dibelasah, harta benda dirosakkan dan bangunan penggubal undang-undang Amerika itu ditakluk selama beberapa jam. Lima orang dilaporkan mati sebelum, semasa dan seujur kejadian termasuk seorang ditembak polis.

 

Ahli-ahli Kongres (serupa Ahli Parlimen) dan kakitangan Capitol berjaya dibawa ke tempat selamat. Saluran berita CNN menyiarkan kejadian itu berulang-ulang dalam tempoh 24 jam.

 

Tidak banyak negara di dunia yang bersimpati dengan kejadian tersebut, selain kenyataan umum sebagai upacara diplomasi semata-mata. Ini kerana sekian lama USA membuli dan campur tangan secara terang-terangan dan belakang tabir hampir di semua negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

 

USA berbangga sebagai pemegang obor demokrasi bahawa semua orang di negara itu bebas melakukan apa sahaja dan kebebasan itu dipelihara  menerusi Perlembagaan negara, termasuk kebebasan memiliki senjata api.


 

PM
Penyokong Trump merusuh dan menceroboh bangunan Capitol di Washington DC pada 6 Januari 2021.

 

Semua tahu, keganasan yang dicetuskan oleh Presiden Trump itu lazimnya berlaku di negara ketiga. Tidak puas hati dengan keputusan undi rakyat, pihak yang kalah hasut penyokongnya memberontak, berdemonstrasi di jalan raya, menghuru-harakan keselamatan semua. Ini adalah situasi `padan muka’ USA.

 

Kejadian ini berlaku sudah setahun. Sampai sekarang entah apa kesudahan pendakwaan terhadap Trump. Apakah dia akan didakwa sebagai penghasut yang menyebabkan penyokongnya merusuh di Washington? Kita tunggu dan lihat sahajalah.

 

Moral yang boleh kita pelajari dari kejadian rusuhan di USA pada 6 Januari 2021 ialah, USA tidak boleh lagi berlagak mendabik dada sebagai pemegang obor demokrasi kerana mereka sendiri ada kes perusuh sama seperti negara ketiga. Senang.

 

Di Malaysia pada 16 Ogos 2021, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang setelah UMNO berpaling tadah dengan menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional. Ini sekali gus menyaksikan pelantikan Perdana Menteri ketiga dalam tempoh tiga tahun berlaku.


 

PM

 


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi bukan presiden parti yang pertama dilantik sebagai Perdana Menteri dan istimewanya, pemilihan beliau adalah atas keputusan Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen seramai 114 daripada 220 Ahli Parlimen keseluruhannya.

 

Semua tahu kerajaan campuran yang diterajui Ismail Sabri tidak sekukuh kerajaan campuran Barisan Nasional suatu waktu dahulu. Ini jelas dilihat dengan UMNO dan BERSATU hampir dalam semua isu berbaling serangan.

 

Muhyiddin sering menjadi sasaran oleh penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Dan satu-satunya yang mengekalkan ikatan kerajaan campuran hari ini ialah hubungan baik Ismail Sabri dengan Muhyiddin.


 

PM

 


Alangkah bagusnya fokus serangan dan tenaga itu disalurkan untuk menghadapi musuh lain yang nyata dan benar-benar perlu dibanteras. Bila heavyweights sedemikian berantakan, timbullah isu-isu aneh seperti desakan supaya simpanan KWSP sekali lagi dibolehkan untuk dikeluarkan kepada mangsa banjir, walhal sudah dijelaskan bantuan yang diberikan cukup besar oleh kerajaan.

 

Aneh kerana yang mendesak itu pun parti komponen kerajaan dan parti perdana menteri sendiri. Apa yang hendak mereka buktikan sebenarnya?

 

Jadi sekarang 2022, kalau dikira pilihan raya umum 2018, ini adalah tahun keempat dalam penggal ini. Bolehlah diadakan pilihan raya umum ke-15 tahun ini.

 

Berdasarkan keputusan cemerlang Melaka dan Sarawak, adalah jelas rakyat serik dengan pengalaman 22 bulan dibawah Pakatan Harapan. Mereka mentadbir negara tanpa ada kesedaran bahawa mereka adalah kerajaan tetapi perlakuan dan tingkah laku masih sebagai entiti pembangkang – yang mengecewakan rakyat.

 

Andai fakta di atas mahu diketepikan sebagai propaganda anti PH semata-mata, kajilah keputusan pilihan raya Melaka dan Sarawak, terutama kerusi yang asalnya dipegang oleh parti pembangkang. Mengapa kalah teruk?


 

PM


Di sebalik itu, kemenangan besar di Melaka dan Sarawak tidak seharusnya menjadikan UMNO atau GPS rasa diri sangat kuat sekarang. Penilaian rakyat masih berterusan.

 

Jika rakyat rasa tiada perubahan positif berlaku, yang negatif tidak dilupuskan dari parti, rakyat akan membuat keputusan sendiri pada pilihan raya umum ke-15 nanti.

 

Berhentilah bergasak sesama sendiri. Tahun Baharu 2022 ini patut beri fokus jitu. Fokuslah pada rakyat. Fokus. Fokus.

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Tak Pernah Menyerah oleh Dayang Nurfaizah berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.