Betamek ambil alih Sanshin daripada Outsourcing Inc pada harga RM13.4 juta | DagangNews Skip to main content

Betamek ambil alih Sanshin daripada Outsourcing Inc pada harga RM13.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Betamek Bhd mengumumkan pengambilalihan sepenuhnya Sanshin (Malaysia) Sdn Bhd daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Tokyo, Outsourcing Inc pada harga RM13.4 juta.

 

Betamek berkata, pengambilalihan itu akan meluaskan pangkalan pelanggan kumpulan dengan ketara selain mengukuhkan kehadirannya di pasaran.

 

Katanya, penambahan produk Sanshin dan kapasiti pengeluarannya dijangka meluaskan tawaran Betamek dan menjana margin yang menguntungkan 

 

"Selain rangkaian produk yang lebih luas, Sanshin juga menawarkan akses kepada pelanggan di Jepun, Hong Kong dan Thailand.

 

"Betamek akan mempunyai kemasukan segera ke dalam pasaran automotif, perkakas rumah dan produk industri Sanshin. Mereka dijangka menyokong pengeluaran produk baharu kumpulan yang akan dibangunkan di bawah usaha sama dengan Shenzen Zhonghong Technology Co," katanya.

 

betamek
Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Outsourcing Inc, Yuya Ono (dua dari kiri) semasa memeterai perjanjian di antara kedua-dua syarikat itu dalam satu majlis di ibu negara, baru-baru ini.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (2QFY25) dan ia akan dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman.

 

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, pengambilalihan itu adalah bukti kepada visi strategik Betamek bagi menerajui dan terus berinovasi dalam industri elektronik automotif.

 

Beliau berkata, dengan menyepadukan kepakaran serta kehadiran pasaran Sanshin, kumpulan itu menetapkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan dan memacu evolusi elektronik automotif.

 

"Jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) mencecah 799,731 unit pada 2023 dan ia diunjur mencecah 740,000 unit pada tahun ini walaupun berdepan cabaran ekonomi global.

 

"Kami teruja dengan sinergi ini dan komited untuk memanfaatkan peluang baharu bagi menyampaikan nilai yang dipertingkatkan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami, seterusnya mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran automotif," katanya.- DagangNews.com