Betamek bermula cemerlang di Bursa Malaysia, dibuka 23% lebih tinggi pada 61.5 sen | DagangNews Skip to main content

Betamek bermula cemerlang di Bursa Malaysia, dibuka 23% lebih tinggi pada 61.5 sen

KUALA LUMPUR 26 Okt - Betamek Bhd. mencatat prestasi memberangsangkan apabila harga sahamnya melonjak 93% kepada 96.5 sen apabila memulakan dagangan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

 

Pada 9 pagi, kaunter itu dibuka pada 61.5 sen iaitu 23% lebih kukuh berbanding harga tawaran 50 sen. Ia menyaksikan sebanyak 94.46 juta saham bertukar tangan dalam tempoh satu jam dagangan.

 

Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Tun Dr Mahathir berkata, syarikat berkedudukan baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan yang dialami industri automotif memandangkan rantaian bekalan industri terus bertambah baik.

 

Katanya, Betamek yang menyediakan penyelesaian perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) kepada pembuat automotif optimis bahawa permintaan terhadap produk audio-visual kenderaan dan aksesori akan terus meningkat.

 

“Memandangkan kenderaan hibrid, elektrik dan autonomi memperoleh bahagian pasaran dunia, Betamek berada pada kedudukan unik untuk memanfaatkan aliran pasaran yang semakin berkembang, dan memperluas serta mempelbagaikan penawaran produk dengan penyelesaian yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Menurutnya, masih terdapat banyak peluang yang belum diteroka untuk segmen produk berkaitan dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), hiburan dan kesambungan, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan aksesori kenderaan.

 

Menerusi penyenaraian itu, Betamek dijangka mengumpulkan hasil sebanyak RM33.8 juta dengan sebanyak RM7 juta, atau 20.7% hasil akan digunakan untuk membiayai aktiviti R&D bagi pembangunan produk baharu.

 

Selain itu, sebanyak RM6.5 juta (19.3%) akan digunakan untuk mengembangkan lagi ruang pejabat R&D, tempat penyimpanan bahan mentah dan kemudahan sampingan bagi menampung pertumbuhan pada masa depan manakala RM3 juta (8.9%) lagi daripada hasil akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan bagi kilang sedia adanya di Rawang.

 

Baki daripada hasil itu akan digunakan untuk membayar semula pinjaman bank berjumlah RM10 juta (29.6%), RM3.9 juta (11.4%) bagi modal kerja am dan baki RM3.4 juta (10.1%) untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Berdasarkan kepada modal saham diperbesarkan berjumlah 450 juta saham, Betamek dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM225 juta. - DagangNews.com