Bina Darulaman, OIB Properties bekerjasama bina perumahan dengan GDV lebih RM187 juta di Kedah | DagangNews Skip to main content

Bina Darulaman, OIB Properties bekerjasama bina perumahan dengan GDV lebih RM187 juta di Kedah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Bina Darulaman Berhad (BDB) telah memeterai perjanjian usaha sama dengan OIB Properties (KV) Sdn Bhd untuk projek perumahan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM187.68 juta di Kedah.

 

BDB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan bahawa cadangan pembangunan perumahan Darulaman Saujana Fasa 2 itu membabitkan pembinaan 782 unit teres satu tingkat di Kubang Pasu di tanah berkeluasan lebih kurang 21.75 hektar.

 

Menurut syarikat hartanah itu, projek terbabit disasarkan siap dalam tempoh 72 bulan atau enam tahun dari tarikh perjanjian ini dimeterai iaitu 21 Disember 2023.

 

Di bawah usaha sama ini, OIB Properties selaku syarikat pembinaan dikehendaki membayar RM46.92 juta kepada BDB sebagai pemilik tanah.

 

“Usaha sama itu akan menjadi strategi perniagaan biasa yang digunakan untuk berkembang lebih cepat, meningkatkan produktiviti dan menjana keuntungan yang diinginkan daripada pembangunan perbandaran mampu milik, Darulaman Saujana.

 

“Ini akan menjadi peluang strategik untuk kedua-dua pihak melalui perkongsian pelaburan dan perbelanjaan, sekali gus meringankan sedikit beban kewangan yang diletakkan ke atas setiap syarikat dan boleh mengurangkan kos secara menyeluruh,” katanya.

 

BDB berkata pembangunan yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan itu menyasarkan pembekalan rumah mampu milik kepada pasaran sasaran B40 dan M40, selaras dengan matlamat dan visi negara.

 

“Memandangkan lokasinya yang strategik dalam jarak 9 kilometer (km) dari bandar Jitra, 13km dari Bukit Kayu Hitam dan 28km dari Bandaraya Alor Setar, ia mempunyai sambungan yang sangat baik ke bandar-bandar utama lain dan pendedahan yang kuat kepada lalu lintas.

 

“Ia juga dekat dengan beberapa institusi iaitu MRSM Kubang Pasu, Institut Kemahiran Belia Negara dan Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu,” tambahnya.

 

Saham BDB ditutup pada 28 sen, menokok 0.5 sen atau 1.8% kepada 28 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM85.1 juta. - DagangNews.com