Bioalpha terima kelulusan bangunkan Hab Pertanian Malaysia seluas 8.4 hektar di Hainan | DagangNews Skip to main content

Bioalpha terima kelulusan bangunkan Hab Pertanian Malaysia seluas 8.4 hektar di Hainan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bioalpha Holdings Berhad menerima kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan China untuk membangunkan Hab Pertanian Malaysia seluas 8.4 hektar di Hainan.

 

Kumpulan itu berkata, fasa awal hab itu akan memberi tumpuan kepada aktiviti huluan dan hiliran seperti penggubalan, pengilangan dan juga aktiviti komersial produk makanan berfungsi menggunakan herba asli dan tropika Malaysia.

 

“Di dalam hab itu, pembangunan terancang merangkumi kemudahan penyelidikan dan pembangunan serta kompleks kilang di tapak boleh memantapkan lagi aktiviti fomulasi dan pembuatan kumpulan itu.

 

"Seperti yang diumumkan sebelum ini pada Julai 2022, usaha ini juga akan membolehkan Bioalpha layak mendapat insentif cukai dan pengecualian yang ditawarkan oleh kerajaan tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan Bioalpha, William Hon berkata, hab itu memerlukan masa tiga ke lima tahun untuk siap sepenuhnya dan akan menyumbang secara positif kepada kumpulan.

 

“Setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk Pelan Pembangunan Induk, kami kini sedang mengusahakan langkah seterusnya bagi membolehkan projek itu dimulakan. 

 

"Sebagai sebahagian daripada fokus strategik kami untuk mengembangkan kehadiran kami di Hainan, kami juga telah menubuhkan ibu pejabat China.

 

“Selain penglibatan kami untuk membangunkan hab itu, kami juga membekalkan makanan kesihatan kepada pelanggan di Guizhou, China. Dengan memanfaatkan infrastruktur dan sumber kumpulan di China, kami mempunyai kapasiti sedia dan mampu memudahkan serta mempercepatkan pesanan dengan lebih cekap," katanya.

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20).

 

Pada 2022, kerugian bersih kumpulan itu melebar kepada RM46.7 juta berbanding RM1.3 juta setahun sebelumnya selepas hasil merosot kepada RM35.8 juta daripada RM96.7 juta.

 

“Secara keseluruhannya, kami memberi tumpuan untuk melaksanakan inisiatif strategik kami di China, khususnya di Hainan, untuk memanfaatkan peluang yang hadir.

 

"Bagi menyokong rancangan itu, kami telah meningkatkan bilangan pekerja kami dan mengupah bakat baharu yang berpengalaman di China untuk mempercepatkan pengembangan kami,” kata William. - DagangNews.com