Bitsmedia peroleh pembiayaan AS$20 juta dalam Pusingan Siri A diketuai Gobi Partners, CMIA dan Bintang Capital | DagangNews Skip to main content

Bitsmedia peroleh pembiayaan AS$20 juta dalam Pusingan Siri A diketuai Gobi Partners, CMIA dan Bintang Capital

Fara Abdullah
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - Bitsmedia, pembangun aplikasi Muslim Pro, berjaya meraih AS$20 juta dalam pusingan pembiayaan Siri A diketuai Gobi Partners, CMIA Capital Partners dan Bintang Capital Partners.

 

Dana yang baru diperoleh itu dikhususkan untuk memajukan keupayaan kecerdasan buatan (AI), memperkayakan tawaran kandungan dalam platform penstriman Bitsmedia iaitu Qalbox,  membangunkan ciri pembelajaran berterusan dan menambah baik pengalaman berkaitan al-Quran dalam Muslim Pro. 

 

Syarikat itu berhasrat untuk meningkatkan kehadiran globalnya ke Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Indonesia, Malaysia dan GCC.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bitsmedia, Fara Abdullah berkata, visi pihaknya bagi Muslim Pro adalah untuk berkembang menjadi platform komprehensif yang memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam. 

 

"Ia menandakan permulaan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman Muslim dan memacu hubungan yang lebih mendalam dalam kehidupan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Gobi Partners, firma modal teroka dengan tumpuan di Asia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah AS$1.6 bilion, memperkasakan aspek keusahawanan merentasi pasaran baru muncul. 

 

Pelaburan mereka dalam Bitsmedia adalah selaras dengan elemen pelaburan "TaqwaTech" menyeluruh firma itu, yang memberi tumpuan dalam mengenal pasti dan menyokong pertumbuhan syarikat yang menggunakan teknologi untuk inovasi yang didorong tujuan bagi memenuhi keperluan pengguna, perniagaan dan komuniti Muslim di seluruh dunia.

 

 

bitsmedia

 

 

Rakan Pengurusan Gobi (Malaysia), Jamaludin Bujang berkata, misi pihaknya adalah untuk menamatkan halangan, menyediakan pasaran yang adil, dan menawarkan akses untuk semua. 

 

"Selama bertahun-tahun, kami telah mengenal pasti peluang pasaran yang ketara dalam keperluan digital yang kurang mendapat perhatian dalam komuniti Muslim. Pelaburan kami dalam Bitsmedia memberi penekanan terhadap komitmen kami kepada TaqwaTech," katanya.

 

Sementara itu, CMIA Capital Partners dan Bintang Capital Partners menjalinkan bekerjasama berterusan dengan Bitsmedia sejak pelaburan awal mereka pada 2017. 

 

Ia telah menyaksikan evolusinya daripada aplikasi komuniti yang berpusat terhadap al-Quran, kiblat, waktu solat dan ciri utiliti lain kepada platform yang kini menggabungkan gaya hidup, pengetahuan, serta perkhidmatan berpaksikan komuniti.

 

Pengasas dan CEO Bintang Capital Partners, Johan Rozali-Wathooth berkata, pihaknya memiliki objektif jelas menerusi pelaburan mereka dalam Bitsmedia.

.

"Ia bagi memperkasakan keterangkuman digital kepada umat Islam, memupuk hubungan global lebih kukuh melalui kandungan pembelajaran tentang dunia Islam, dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi menerusi pertumbuhan perniagaan Bitsmedia," katanya. - DagangNews.com