BMI: Inflasi Malaysia dijangka turun kepada purata 10 tahun sebanyak 2% menjelang akhir tahun | DagangNews Skip to main content

BMI: Inflasi Malaysia dijangka turun kepada purata 10 tahun sebanyak 2% menjelang akhir tahun

oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - BMI, sebuah entiti kumpulan Fitch Solutions, telah meramalkan inflasi Malaysia akan menurun kepada purata 10 tahun sebanyak 2% menjelang akhir tahun, lebih rendah daripada unjuran firma sebelumnya pada 2.5%.

 

Sehubungan itu, firma itu menyemak semula unjuran purata inflasi untuk 2023 daripada 2.9% kepada 2.7%, yang jauh lebih rendah daripada purata 2022 sebanyak 3.4%.

 

“Ketika Bank Negara Malaysia (BNM) mengharungi penghujung kitaran kenaikan kadar global, kejatuhan inflasi dan tekanan pertumbuhan yang berterusan, kami menjangkakan bank pusat itu akan berdiri teguh dalam mesyuarat akan datang pada September 2023.

 

“Kami turut menjangkakan dalam beberapa bulan akan datang, BNM mungkin akan menurunkan unjuran inflasi semasa pada 2.8% sehingga 3.8% untuk 2023,” kata BMI.

 

Menurut BMI, inflasi utama dijangka terus mereda berikutan kesan asas yang tinggi daripada lonjakan harga makanan dan tenaga global pada tahun lepas yang tercetus oleh perang Rusia-Ukraine.

parafrasa

Firma itu berkata subsidi kerajaan dan langkah kawalan harga juga akan membantu meletakkan had tersirat pada kenaikan harga selanjutnya.

 

“Secara umum, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini kerana inflasi di Indonesia mencapai 3.5%, Filipina pada 5.4% dan Singapura pada 4.5% dalam Jun.

 

“Walaupun inflasi teras (3.1% tahun ke tahun) kekal tinggi berbanding purata lima tahun sebanyak 1.6%, kami tidak menjangka BNM meningkatkan lagi kadar pada 2023,” katanya.  - DagangNews.com