Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Lim Chee Sing sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022.
BNM berkata, Chee Sing berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengerusi RHB Research Institute Sdn Bhd dari tahun 2013 hingga 2017.
Beliau juga, kata BNM adalah Ketua Ekonomi RHB Banking Group dan ahli strategi pasaran ekuiti untuk pasaran Malaysia di RHB Research Institute.
"Chee Sing memulakan kerjaya beliau sebagai ahli ekonomi di BNM pada tahun 1981 selama hampir 11 tahun.
"Selepas itu, beliau menyertai RHB Research Institute sebagai ahli ekonomi serantau dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Penyelidik.
"Chee Sing berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu bank pusat itu turut mengumumkan bahawa Datuk Dr Gan Wee Beng akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai anggota luar MPC pada 1 April 2022.
Beliau berkhidmat sebagai anggota luar MPC sejak 1 April 2019.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata beliau mengalu-alukan kehadiran Chee Sing sebagai anggota MPC yang akan menyumbangkan pelbagai kepakaran dan pengalaman.
"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wee Beng atas sumbangan beliau terhadap perumusan dasar monetari BNM sepanjang tiga tahun lalu," katanya.