BNM masih kekalkan OPR rendah pada 1.75%  | DagangNews Skip to main content

BNM masih kekalkan OPR rendah pada 1.75% 

 

 


KUALA LUMPUR 9 Sept. - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75%.

 

Menurut bank pusat itu, ekonomi global terus pulih, disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. 

 

Kekuatan pemulihan berbeza-beza merentas pelbagai negara terutama mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar. 

 

Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

 

Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik berikutan munculnya varian yang membimbangkan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan perubahan dasar monetari ekonomi utama.

 

Namun, bagi ekonomi Malaysia, jelas BNM, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula COVID-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan. 

 

Bagaimanapun, pelonggaran yang diberikan secara berperingkat baru-baru ini kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi, di samping kemampuan syarikat yang lebih tinggi untuk membuat penyesuaian dalam persekitaran operasi baharu serta sokongan dasar berterusan, sebahagiannya akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan. 

 

"Pada masa hadapan, pelonggaran langkah-langkah pembendungan yang selanjutnya, kemajuan pesat program pemberian vaksin dalam negeri dan pengembangan permintaan global yang berterusan akan menyokong momentum pertumbuhan menjelang 2022. 

 

"Namun, risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Faktor-faktor ini termasuk kelewatan dalam pelonggaran atau pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan secara keseluruhan yang disebabkan oleh kesan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3% dan diunjurkan antara 2.0% hingga 3.0% pada 2021. 

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 

 

Prospek ini bagaimanapun terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah-langkah dasar bagi meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh orang ramai.

 

Tetapi, inflasi asas dijangka kekal rendah secara relatif pada 2022.

 

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif, di samping langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. 

 

"Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

 

"Dalam hal ini, BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan," katanya. - DagangNews.com