BNM, SC pertingkat respons sektor kewangan terhadap risiko iklim  | DagangNews Skip to main content

BNM, SC pertingkat respons sektor kewangan terhadap risiko iklim 

 


 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) mengadakan mesyuarat kali kelimanya pada 2 Ogos 2021 untuk membincangkan kemajuan keutamaan semasanya serta inisiatif berterusan dalam menyokong respons industri kewangan terhadap risiko yang berkaitan dengan iklim.

 

Dalam kenyataan bersama, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, JC3 terus mempertingkatkan inisiatif untuk mengukuhkan keupayaan sektor kewangan dalam menguruskan risiko yang berkaitan dengan iklim. 

 

Berikutan penerbitan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) pada April 2021, satu Kumpulan Pelaksanaan CCPT akan ditubuhkan untuk menyokong pelaksanaannya yang konsisten dan dengan jayanya oleh institusi kewangan. 

 

"Seramai 12 ahli JC3 telah memberikan komitmen untuk mengadaptasi CCPT peringkat awal, melebihi jangkaan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM untuk mengklasifikasi dan melaporkan aktiviti peminjaman dan pelaburan mereka selaras dengan CCPT bermula Julai 2022. 

 

"CCPT menyediakan rangka kerja umum untuk pengklasifikasian pendedahan institusi kewangan yang berkaitan dengan risiko iklim bagi menyokong penilaian risiko dan mendorong aliran kewangan ke arah melestarikan ekonomi (ekonomi hijau)," katanya.

 

Jelasnya, ahli-ahli JC3 juga mengkaji semula kemajuan kerja-kerja yang dijalankan untuk membangunkan panduan rujukan mengenai pengurusan risiko iklim dan analisis senario, serta penzahiran yang berkaitan iklim. 

 

"JC3 menjangkakan untuk menerbitkan panduan rujukan tersebut pada suku keempat tahun ini," tambahnya.

 

Pada masa sama, menurut BNM dan SC, usaha-usaha JC3 untuk menghasilkan senario iklim rujukan tempatan yang relevan bagi Malaysia  untuk meningkatkan kefahaman mengenai impak fizikal dan peralihan perubahan iklim menurut trend iklim yang berbeza–beza. 

 

Ini seterusnya akan menyokong penilaian risiko, penyelarasan strategi perniagaan yang lebih baik dengan sasaran iklim, dan penzahiran berkaitan iklim oleh institusi kewangan.

 

"Ahli-ahli selanjutnya membincangkan rancangan untuk mewajibkan penzahiran kewangan berkaitan iklim oleh institusi kewangan. 

 

"Maklumat lebih lanjut mengenai rancangan ini akan diumumkan pada akhir tahun ini," katanya.

 

Rangka tindakan Jawatankuasa Kecil bagi Menangani Jurang Data yang baru ditubuhkan telah disahkan dalam mesyuarat tersebut. 

 

Ahli-ahli JC3 menyokong penyusunan keutamaan kes penggunaan awal oleh Jawatankuasa Kecil tersebut, yang merangkumi data untuk menyokong keputusan pelaburan dan peminjaman, pemodelan makroekonomi, ujian tekanan, analisis senario dan pembangunan produk. 

 

Bagi kes yang digunakan, Jawatankuasa Kecil tersebut akan bekerjasama dengan rakan kongsi utama dari sektor awam dan swasta untuk mengenal pasti keperluan data kritikal dan menghubungkan data tersebut kepada sumber data yang relevan. 

 

Jawatankuasa Kecil akan menyediakan katalog data iklim yang boleh diakses oleh sektor kewangan.

 

Menurutnya, JC3 terus aktif bekerjasama dan mengadakan libat urus bersama komuniti perniagaan untuk menyokong keperluan pembiayaan korporat dan rantaian bekalan mereka dalam peralihan ke arah amalan lestari. 

 

"JC3 juga terus meningkatkan libat urus mereka bersama kementerian dan agensi kerajaan dalam menggalakkan penyelarasan dasar dan strategi sektor kewangan dalam menyokong pendekatan 'seluruh negara’ ke arah menuju peralihan yang teratur," katanya.

 

Ahli-ahli membincangkan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 yang dilancarkan baru-baru ini dan bersetuju untuk bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meraih peluang bagi sektor kewangan dalam menangani keperluan kewangan lestari bagi bandar raya ini.

 

"Pada masa sama, ahli-ahli juga bersetuju untuk mencalonkan wakil-wakil JC3 dalam Rangkaian Tindakan CEO (CAN), gabungan kerjasama ketua pegawai eksekutif pihak korporat dan PKS yang komited untuk memangkin dan mempercepat penerapan amalan lestari dalam syarikat korporat dan ekosistem perniagaan di Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com