Boost, Lazada bantu PKS beralih kepada niaga dalam talian | DagangNews Skip to main content

Boost, Lazada bantu PKS beralih kepada niaga dalam talian

KUALA LUMPUR 2 Julai - Syarikat e-dompet tempatan, Boost kini memperkenalkan penyelesaian pedagang pada kos sifar bagi membantu peralihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada perniagaan dalam talian menerusi Kempen Go-eCommerce Onboarding.

 

Kempen bertujuan memanfaatkan e-dagang tersebut adalah inisiatif di bawah penerimagunaan digital Belanjawan  2021 oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Malaysia Digital Economy Corp (MDEC).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Khairil Abdullah berkata peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menawarkan penyelesaian dagangan digital dan pembayaran untuk PMKS dilihat sebagai tepat pada masanya ketika negara dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).



“Penyelesaian ini penting, lebih-lebih lagi berikutan perubahan tabiat penggunaan serta perbelanjaan pengguna menerusi dalam talian yang ketara  sejak 2020,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Pada tahun lepas, Boost mencatat jumlah nilai transaksi kasar (GTV) yang meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2019 dengan GTV pembayaran menerusi pedagang dalam talian menokok 40 peratus pada 2020.

 

Mohd Khairil berkata ramai pedagang tidak mempunyai sumber membayar yuran komisen tinggi platform e-dagang atau pengetahuan teknologi mereka terbatas bagi mengetahui di mana serta cara memulakan perniagaan dalam talian.

 

“Inilah alasan utama yang menggerakkan kita untuk menawarkan penyelesaian perdagangan yang mudah untuk mereka ikuti dan gunakan tanpa membabitkan bayaran yuran mahal.

 

“Pasukan kami akan turut menyediakan sokongan perkhidmatan penyertaan dalam talian sepenuhnya, membantu PMKS untuk memudahkan mereka beralih kepada operasi perniagaan dalam talian memandangkan sekarang adalah era baharu e-dagang,” katanya.

 

Menerusi Kempen Go-eCommerce Onboarding pada 1 Julai-31 Disember, 2021, Boost akan menawarkan ganjaran seperti kadar diskaun pedagang sifar atau MDR (caj yuran minimum dikenakan ke atas peniaga pada kadar tertentu untuk setiap transaksi) sehingga 31 Disember 2021.

 

PMKS yang berminat menyertai kempen itu boleh mendaftar di http://myboost.com.my/business/campaign/go-ecommerce dan akan dihubungi wakil Boost dalam
tempoh lima hari bekerja. Maklumat lanjut mengenainya terdapat di laman sesawang Boost www.myboost.com.my.

 

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Lazada berkata ia sekali lagi bekerjasama dengan MoF dan  MDEC menerusi penganjuran acara Shop Malaysia Online (Beli-Belah Malaysia Dalam Talian) dan Go-eCommerce (Manfaatkan e-Dagang).

 

Menurut peneraju platform e-dagang itu, program secara serentak pada 1 Julai-31 Disember di Lazada adalah sebahagian daripada usaha menyokong PKS serta produk tempatan.

 

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata Lazada merupakan platform e-dagang pertama menyokong perniagaan tempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan pertama dan kedua dengan melabur lebih RM50 juta menerusi rangsangan Pakej Kedai Pintar.

 

“Kami terus melabur dan menyokong komuniti PKSM sepanjang tempoh 18 bulan lepas menerusi pelbagai inisiatif dan kerjasama dengan MDEC dan kerajaan tempatan.

 

“Sejak itu, terdapat peningkatan lebih 300 peratus calam PMKS baharu yang menyertai platform e-dagang kami, sekali gus memastikan ribuan perniagaan tempatan bersedia untuk masa depan, menyesuaikan diri dan beralih kepada fasa pemulihan dan pertumbuhan,” katanya.

 

Kempen Shop Malaysia Online  Lazada turut menawarkan insentif tambahan kepada pengguna yang membeli-belah dalam talian tempatan dengan diskaun 50% menerusi baucar dan Jualan Kilat serta insentif penghantaran percuma harian sepanjang hari.

 

Sementara itu, inisiatif Go-eCommerce yang dibiayai bersama  Lazada dan MDEC, akan membantu hampir 40,000 PMKS tempatan memulakan perjalanan digital masing-masing dan meningkatkan pendedahan serta jualan menerusi insentif terpilih program tersebut.

 

Ketahui Shop Malaysia Online di https://lzd.co/LazadaShopMalaysiaOnline manakala Go-eCommerce di https://lzd.co/LazadaGoEcommerce untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com