KUALA LUMPUR 26 Ogos - Boustead Holdings Bhd. mencatat untung bersih RM74.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih RM7.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi lebih baik ini didorong terutamanya menerusi sumbangan daripada segmen hartanah dan perindustrian, perladangan dan perdagangan serta kewangan dan pelaburan pada suku berkenaan selain hasil daripada syarikat bersekutu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu meningkat kepada RM4.31 bilion daripada RM2.58 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih Boustead melonjak kepada RM364.7 juta berbanding RM35.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM7.75 bilion daripada RM4.66 bilion.
Keuntungan lebih tinggi dicapai hasil daripada keuntungan sekali yang diperoleh menerusi penjualan tanah ladang bernilai RM367.7 juta.
Kesemua segmen perniagaan kecuali perindustrian berat dan farmaseutikal terus mencatatkan prestasi yang kukuh bagi tempoh berkenaan. Selain itu, keuntungan kumpulan juga dipengaruhi hasil yang lebih baik daripada syarikat bersekutu.
Mengenai prospek kumpulan, Boustead menjangkakan ekonomi pada separuh kedua akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih kukuh terutamanya disokong permintaan dalam negeri, pengembangan berterusan dalam permintaan luar dan peningkatan pasaran buruh.
Bagaimanapun, katanya, kebimbangan terhadap kadar inflasi kekal disebabkan ketidaktentuan harga komoditi akibat gangguan rantaian bekalan dan konflik ketenteraan di Ukraine yang masih berpanjang.
"Namun begitu, kumpulan tetap optimis bahawa faktor positif ditambah dengan 'Strategi Mencipta Semula Boustead' akan memacu prestasi yang lebih baik menerusi usaha kepelbagaian kumpulan.
"Di bawah strategi itu, kumpulan menyasarkan untuk mempercepatkan penciptaan nilai dengan program peningkatan prestasi, memanfaatkan aliran pendapatan baharu, menyelaraskan aset bukan strategik dan memulakan sektor perkhidmatan teknologi dan digital," katanya. - DagangNews.com