BPMB, Funding Societies lancarkan Perkongsian Digital PKS, mudahkan akses kewangan kepada perniagaan kecil | DagangNews Skip to main content

BPMB, Funding Societies lancarkan Perkongsian Digital PKS, mudahkan akses kewangan kepada perniagaan kecil

Dari kiri; Ketua Kumpulan, Ekuiti Persendirian Kumpulan & Pelaburan Strategik BPMB, Muhammad Azraini Abdul Hamid bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Kah Meng Wong.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melalui anak syarikatnya, Ecologitec Sdn Bhd bekerjasama dengan Funding Societies, platform kewangan digital perniagaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara untuk melancarkan Perkongsian Digital PKS.

 


BPMB berkata, kerjasama itu memanfaatkan skim Platform Pelaburan Dana Padanan institusi kewangan itu dalam usaha meningkatkan pilihan pembiayaan PKS di Malaysia.

 


Platform itu diperkenalkan bagi memudahkan akses kewangan PKS khususnya, mereka yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan pembiayaan tradisional. 

 


Menurut BPMB, peranannya dalam inisiatif itu termasuk memberikan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Funding Societies, menawarkan rangsangan kepada perniagaan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi, infrastruktur dan pembuatan serta melengkapkan perkhidmatan sedia ada BPMB melalui Pembangunan Leasing Corporation.

 


Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Roni Abdulwahab berkata, kerjasama dengan Funding Societies menandakan pencapaian yang penting untuk menyokong PKS.

 

“Di BPMB, kami komited untuk menyampaikan modal impak yang memacu pembangunan negara.

 

"Dengan merapatkan jurang pembiayaan dan menggalakkan rangkuman kewangan dapat memperkasakan PKS serta mengiktirafkan peranan penting mereka dalam memacu pertumbuhan ekonomi. 

 


"Kerjasama ini mencerminkan dedikasi kami terhadap agenda pembangunan Malaysia dan sokongan kami untuk kejayaan PKS," ulasnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Kah Meng Wong berkata, perkongsian itu menunjukan peranan penting institusi kewangan pembangunan seperti BPMB dan Funding Societies dalam meluaskan landskap pembiayaan serta mengukuhkan pasaran modal PKS. 

 


"Kerjasama itu juga menandakan peristiwa penting dalam perjalanan kami dan merupakan bukti visi kami untuk melengkapkan usahawan dengan bantuan kewangan diperlukan untuk berkembang maju menyumbang kepada ekonomi negara," ujar beliau. 

 


Di samping itu, Funding Societies yang terkenal dengan kepimpinannya dalam kewangan digital PKS di seluruh Asia Tenggara, berperanan untuk membawa kepakaran dan sumber yang berharga dalam kerjasama ini.

 


Syarikat yang beroperasi di pasaran utama Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam itu menawarkan lebih AS$1 bilion dalam pembiayaan perniagaan PKS setiap tahun.

 


Sementara itu, BPMB berkata, perkongsian itu sejajar dengan pelan hala tuju lima tahun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk meningkatkan akses perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) di pasaran modal.- DagangNews.com