BRICS bentuk pasaran mega, peluang Malaysia pelbagaikan perdagangan, sumber FDI baharu - MITI | DagangNews Skip to main content

BRICS bentuk pasaran mega, peluang Malaysia pelbagaikan perdagangan, sumber FDI baharu - MITI

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Julai - Penyertaan Malaysia dalam organisasi BRICS merupakan satu langkah strategik untuk memperluaskan jaringan kerjasama ekonomi terutama dari aspek perdagangan dan pelaburan serta diversifikasi pasaran.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, dari segi keluasan pasaran dan kekuatan ekonomi, BRICS yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta empat negara ahli baharu secara kumulatif mempunyai 3.54 bilion penduduk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada nilai AS$26.6 trilion atau bersamaan dengan 26.2% daripada KDNK dunia. 

 

Katanya, BRICS sebagai sebuah blok membentuk satu pasaran mega yang akan membuka peluang bagi diversifikasi pasaran dan sumber pelaburan asing baharu kepada negara yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan, di samping mengimbangi kebergantungan terhadap pasaran tradisional sedia ada seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

 

"Mengambil kira kekuatan ekonomi China yang digelar sebagai “world factory“, India dengan kuasa ekonomi yang sedang membangun dengan pesat serta kekuatan Rusia sebagai kuasa serantau, BRICS sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi dunia. 

 

"Ini sudah tentu akan membawa kebaikan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang," katanya menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris pada sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

 

brics
Organisasi 5 negara BRICS kini mempunyai empat ahli baharu, UAE, Iran, Mesir dan Etiopia. -Gambar Xinhua

 

Noraini meminta keajaan menyatakan kewajaran Malaysia untuk menyertai gabungan ekonomi BRICS dan bagaimanakah penyertaan tersebut tidak merencatkan segala perancangan serta hubungan perdagangan global dengan negara-negara pro Amerika Syarikat memandangkan antara falsafah yang diketengahkan oleh BRICS adalah tidak menggunakan dolar AS atau dedollarisation.

 

Sementara itu, kata Tengku Zafrul, negara anggota BRICS juga merupakan antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, arang batu, bijih besi, aluminium, bijirin, tembaga, nikel dan emas serta komoditi berharga seperti platinum dan palladium. 

 

"Oleh itu, penyertaan negara dalam BRICS akan membuka akses kepada sumber bahan mentah kritikal tersebut yang amat penting dalam memastikan rantaian bekalan yang mampan," jelasnya.

 

TZ
TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ - Gambar MITI

 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan perlu sentiasa meneroka pasaran-pasaran baharu untuk memastikan negara tidak ketinggalan serta mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi global.

 

Kata beliau, kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah supaya kepentingan negara sentiasa dijunjung dan ini adalah antara sebab utama Malaysia bukan sahaja mempertimbangkan penyertaan dalam BRICS, malah beberapa organisasi lain yang sesuai seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di mana Malaysia boleh memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat antarabangsa. 

 

"Ini terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif negara dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau serta pelbagai hala termasuk ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), PBB, Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan sebagainya," jelasnya.

 

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan sentiasa menumpukan usaha untuk mengeratkan kerjasama ekonomi dengan semua negara-negara rakan dagang. 

 

"Dalam konteks tersebut, penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu agenda ekonomi untuk kepentingan negara dan rakyat. 

 

"Dengan pendekatan yang strategik dan seimbang, Malaysia dapat mengoptimumkan manfaat penyertaan dalam BRICS di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan hubungan perdagangan global dengan semua rakan ekonomi utama negara," katanya.

 

"Kata beliau, dalam usaha untuk mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi negara dan menjaga hubungan baik dengan semua rakan dagang terutamanya negara-negara kuasa ekonomi dunia, Malaysia akan terus memastikan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan pragmatik.

 

"Ini akan dibuat berlandaskan nilai-nilai kesejahteraan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan serta dalam masa yang sama, Kerajaan akan sentiasa mendukung Keluhuran Undang-Undang dan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," ujarnya. - DagangNews.com