Bursa Securities tolak permohonan AirAsia X keluar daripada status PN17 | DagangNews Skip to main content

Bursa Securities tolak permohonan AirAsia X keluar daripada status PN17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - Bursa Malaysia Securities Berhad telah menolak permohonan AirAsia X Berhad untuk cadangan pelepasan daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dan memberikannya sehingga 17 Januari 2024 bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Securities, AirAsia X berkata, mereka akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada (termasuk kemungkinan rayuan) dan mengumumkan tindakan seterusnya yang akan diambil dalam masa terdekat.

 

Bursa Securities menerusi surat bertarikh 18 Oktober 2023, mengesahkan bahawa mereka telah memutuskan untuk menolak permohonan syarikat bagi cadangan pelepasan status PN17.

 

Mereka memberikan lanjutan masa kepada kumpulan itu sehingga 17 Januari 2024 untuk menyerahkan pelan penyelarasannya kepada pihak berkuasa kawal selia.

 

AirAsia X mengemukakan permohonan untuk keluar daripada status PN17 tanpa mengemukakan pelan penyelarasan pada 20 Julai 2023 sebaliknyab berdasarkan peningkatan prestasi kewangan syarikat dan anak-anak syarikatnya.

 

Kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih RM5.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, berbanding kerugian bersih RM652.5 juta bagi suku yang sama tahun lalu. Ini adalah peningkatan lebih empat kali ganda dalam hasil kepada RM512.9 juta.

 

Terdahulu, AirAsia X sudah diberi lanjutan masa dua kali untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya, pertama selama enam bulan hingga 28 April, dan kemudian untuk tiga bulan lagi hingga 28 Julai tahun ini.

 

AirAsia X terperosok ke status PN17 pada 27 Oktober 2021 selepas mengalami kerugian akibat pandemik, yang mengakibatkan ekuiti pemegang saham negatif bagi kedua-dua syarikat.

 

Ketika pasaran ditutup hari ini, harga saham AirAsia X menyusut 7.11% atau 0.16 sen pada RM2.25 sesaham. - DagangNews.com