Cabaran besar Rexy siapkan pasukan Malaysia bagi hasilkan kejayaan besar | DagangNews Skip to main content

Cabaran besar Rexy siapkan pasukan Malaysia bagi hasilkan kejayaan besar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui bakal berdepan cabaran besar dalam menghasilkan kejayaan besar buat Malaysia termasuk mencapai sasaran awal layak ke final Piala Thomas 2022.

 

Legenda beregu dari Indonesia diberikan tanggungjawab baharu menerusi penstrukturan semula badan induk sukan badminton negara itu selepas meneliti keputusan atlet negara sepanjang tiga bulan lalu ketika di Eropah dan Bali.

 

Beliau berkata, pendekatan baharu yang digunakan BAM dilihat akan memudahkan komunikasi antara pemain dan jurulatih selain dapat menyelesaikan pelbagai masalah tanpa perlu melalui pelbagai peringkat seperti sebelum ini.

 

"Menerusi pendekatan ini, ia dapat mengurangkan tugasan Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM).

 

"Sasaran utama yang ditetapkan BAM adalah untuk menjadi finalis Piala Thomas, jadi saya dan Choong Hann akan bekerjasama dalam menyiapkan pasukan terbaik," katanya.

 

Rexy yang juga bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan juara Dunia sebelum ini memulakan tugasan di BAM sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan pada 1 Disember namun menerusi penstrukturan baharu, beliau diberikan tugasan baharu.

 

rexy

 

 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, Datuk Kenny Goh mengumumkan penstrukturan semula kejurulatihan BAM dengan Choong Hann memikul tugas selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan manakala Rexy bertanggungjawab ke atas bahagian beregu.

 

rexy

 

Sementara itu, Choong Hann turut melihat perubahan yang positif demi masa depan skuad negara dan mengakui terdapat kelewatan dalam proses membuat keputusan dalam struktur sebelum ini. - DagangNews.com