Cabaran makroekonomi, risiko peningkatan inflasi berpotensi bebankan perbelanjaan pengguna – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Cabaran makroekonomi, risiko peningkatan inflasi berpotensi bebankan perbelanjaan pengguna – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - AmInvestment Bank Research menjangkakan sentimen pengguna kekal lemah pada 2024 disebabkan cabaran makroekonomi dan risiko peningkatan inflasi yang berpotensi membebankan perbelanjaan pengguna.

 

Firma itu berkata pengguna, terutamanya golongan B40 dan M40 yang lebih sensitif harga dijangka berbelanja dengan bijak dan beralih kepada barangan mampu milik atau tidak berjenama serta mendapatkan tawaran promosi.

 

Menurut AmInvestment, perbelanjaan penggunaan dalam suku pertama tahun ini akan disokong oleh peningkatan pengunjung yang lebih tinggi di kedai runcit atau pusat beli-belah ketika musim perayaan dan sokongan tunai oleh kerajaan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

 

Bagaimanapun, ia berkata sentimen kekal lemah tahun ini dengan indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada suku ketiga 2023 merosot 13% suku ke suku (QoQ) kepada 78.9 mata, mencerminkan kebimbangan terhadap peluang pekerjaan, kebimbangan inflasi dan pertumbuhan pendapatan.

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya perbelanjaan penggunaan akan berkurangan apabila pengguna menjadi lebih arif dalam membuat keputusan pembelian barangan pengguna.

 

“Kami menjangkakan pengguna berhati-hati berbelanja disebabkan pendapatan boleh guna benar lebih rendah dan rasionalisasi subsidi yang akan berlaku ke atas makanan serta potensi risiko peningkatan inflasi berikutan rasionalisasi subsidi bahan api diperluaskan kepada RON 95 pada 2024,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, firma itu menurunkan taraf sektor pengguna kepada ‘neutral’ daripada ‘overweight’ disebabkan perbelanjaan berhati-hati kelak yang dipengaruhi oleh faktor makroekonomi dan kecenderungan pengguna mencari harga kompetitif atau barangan tidak berjenama dan saiz atau pek makanan dan minuman yang lebih kecil nilainya.

 

Pilihan utama AmInvestment bagi sektor ini adalah Leong Hup International Berhad dengan saranan ‘beli’ dan nilai saksama (FV) pada 95 sen sesaham disokong oleh operasi bersepadu sepenuhnya.

 

Ini melindungi kumpulan itu daripada kejutan inflasi, serta kenaikan harga siling ayam dan telur diumumkan baru-baru ini, yang menggiatkan semula prospek pendapatannya.

 

Selain itu, firma itu turut menyukai Spritzer Berhad (‘beli’, FV: RM2.27) kerana penjenamaan tempatannya kukuh dan ketibaan pelancong meningkat secara beransur, yang akan meningkatkan momentum pertumbuhan jualan serta jangkaan margin lebih baik didorong penurunan kos bahan mentah seperti resin plastik.  - DagangNews.com