Cabaran pertama Menteri Pertahanan baharu, Mohamad Hassan selesaikan isu LCS  | DagangNews Skip to main content

Cabaran pertama Menteri Pertahanan baharu, Mohamad Hassan selesaikan isu LCS 

Mohamad merupakan Brigedier Jeneral (Kehormat) selaku Penaung JAKPAW Negeri Sembilan sebelum ini.
Analisis Berita oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 5 Dis - Pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah pasti menjadi antara perkara yang bakal dihadap Menteri Pertahanan (Menhan) baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan.

 

Isu kelewatan LCS umpama duri dalam daging pada kerajaan lalu apabila dijadikan modal dalam kempen politik pihak lawan, walaupun kini sudah menjadi kawan dalam kerajaan perpaduan.

 

Ahli Parlimen Rembau itu dilantik menerajui Kementerian Pertahanan (Mindef) di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat walau pun merupakan seorang ahli politik berpengalaman tetapi belum pernah teruji dalam pentadbiran pada peringkat Persekutuan.

 

Menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 20 tahun sejak 2004, kecemerlangan beliau mentadbir kerajaan negeri pasti boleh membuktikan sesuatu pada Mindef.

 

menhan
Mengetuai Kementerian Pertahanan memberikan cabaran besar kepada Ahli Parlimen Rembau ini.

 

Sebagai Menteri Besar, beliau pernah dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) selaku Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) negeri.

 

Bagaimana pun, pengalaman menjadi jeneral satu bintang ini pasti tidak sama dengan memikul tanggungjawab sebagai seorang menteri mengetuai hal ehwal pertahanan.

 

Menyelesaikan isu kelewatan pembinaan LCS adalah rumit syarikat pembinanya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) masih berharap pada campur tangan kerajaan.

 

Kepentingan projek ini pada TLDM pula sangat besar kerana angkatan laut ini sangat terdesak untuk memiliki kapal-kapal perang moden bagi mengimbangi aset-aset usang.

 

Ketika ini Fasa Mobilisasi Projek LCS untuk memulakan kembali pembinaan kapal yang tergendala hampir selesai dan akan dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.

 

BNSSB sedang berunding dengan Naval Group dari Perancis mengenai reka bentuk terperinci LCS. 

 

Mindef pada 2011 memilih frigat kelas Gowind rekaan Perancis bagi program kapal perang moden TLDM sebanyak enam buah.

 

LCS
Masa depan program LCS hanya akan diketahui bulan ini apabila Fasa Mobilisasi selesai.

 

Rekaan Gowind pada mulanya adalah bagi kelas korvet seberat 1,000 hingga 2,500 tan, manakala LCS adalah versi yang diubah untuk menepati keperluan Malaysia.

 

Mindef telah menganugerahkan kontrak RM9 bilion kepada BNSSB untuk mereka bentuk dan membina enam LCS seberat 3,100 tan dan 111 meter panjang berasaskan rekaan Gowind.

 

Sehingga kini, tiga angkatan laut memilih kapal Gowind masing-masing empat buah iaitu Mesir dan  Argentina manakala UAE dua.

 

Jadi, Gowind bukanlah rekaan kapal perang yang tidak baik untuk TLDM sepertimana tanggapan sesetengah pihak 

 

Bagaimana pun, kesemua negara itu tadi memilih Gowind kelas korvet yang mana rekabentuk kapal ini telah terbukti dan sudah pun beroperasi.

 

Kapal-kapal ini juga dibina dan disiapkan oleh pihak pengeluar asal, Naval Group di Perancis.

 

Hanya Malaysia memilih Gowind bersaiz frigat atau LCS yang mana rekaan kapal seberat 3,100 tan ini belum pernah lagi dibina termasuklah oleh pihak Naval Group.

 

gowind
Sebuah korvet Gowind milik Mesir yang telah pun beroperasi.

 

Menhan yang lepas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beberapa kali memberi jaminan bahawa LCS pertama akan siap dalam setahun dua lagi.

 

Namun begitu, jaminan tersebut dilihat sebagai tidak realistik kerana antara masalah utama dalam isu LCS ialah rekaan asas dan terperinci yang masih belum dimuktamadkan.

 

Ini adalah perkara yang ditekankan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang menyiasat projek bermasalah itu.

 

Dikatakan reka bentuk terperinci yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 itu hanya siap kira-kira 80 peratus ketika itu.

 

Tanpa reka bentuk terperinci ini bermakna pembinaan kapal yang dilakukan selama ini tidak bermakna.

 

Bagi menyelamatkan program LCS dan mengambil kira keperluan TLDM, berkemungkinan pilihannya ialah menyerahkan pembinaan kapal kepada Naval Group sebagai pembina asal.

 

Sekurang-kurangnya dua buah kapal dibina pihak Perancis dengan jangkaan boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun.

 

LCS

 

Cuma isunya ialah setelah RM6 bilion dibelanjakan, sekiranya ada kos tambahan bagi memulakan kembali pembinaan LCS ini adakah ia masih berbaloi?

 

Sebagai Menhan kerajaan baharu, Tok Mat akan menjadi individu yang bakal memuktamadkan berdasarkan keputusan yang diumumkan jawatankuasa Fasa Mobilisasi LCS nanti. - DagangNews.com