Cahya Mata Sarawak ambil langkah tepat lupus pegangan dalam 2 entiti, mampu teroka peluang baharu | DagangNews Skip to main content

Cahya Mata Sarawak ambil langkah tepat lupus pegangan dalam 2 entiti, mampu teroka peluang baharu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jun - Cahya Mata Sarawak Bhd. dilihat mengambil langkah tepat untuk keluar daripada perniagaan peleburan aloi di Sarawak dengan melupuskan 25% kepentingan dalam OM Materials (Sarawak) Sdn. Bhd. dan OM Materials (Samalaju) Sdn. Bhd.

 

MIDF Research berkata, langkah tersebut yang membabitkan pertimbangan tunai sebanyak AS$120 juta (RM526.6 juta) pada ketika harga komoditi melonjak tinggi membolehkan kumpulan menambah nilai pelaburannya dengan lebih tinggi. 

 

Katanya, tidak termasuk pinjaman, pertimbangan pelupusan bersih ialah RM479.4 juta, iaitu RM8.1 juta atau premium 1.7% kepada penilaian RM471.3 juta untuk kedua-dua entiti, dengan keuntungan daripada pelupusan yang berpotensi diiktiraf ialah RM147.6 juta.

 

"Berdasarkan anggaran kami, ini akan meningkatkan kedudukan tunai bersih Cahya Mata Sarawak kepada RM627.2 juta.

 

"Kumpulan merancang untuk menggunakan 50% atau RM263.3 juta daripada langkah itu untuk modal kerja manakala 25% atau RM131.7 juta untuk melaksanakan pengambilalihan atau pelaburan akan datang.

 

"Sementara itu, sebanyak 20% atau RM24.1 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal (capex) manakala baki untuk perbelanjaan pelupusan. Bagaimanapun, tiada tanda-tanda kumpulan akan membayar dividen khas,' katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pelupusan saham dalam kedua-dua entiti akan dibuat kepada OM Materials (S) Pte. Ltd (OMS), anak syarikat milik penuh OM Holdings Ltd, yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan Bursa Sekuriti Australia.

 

OMS ketika ini memiliki 75% pegangan dalam OM Sarawak dan OM Samalaju.

 

Menurut MIDF Research, pada tahun-tahun sebelumnya, OM Sarawak mengalami kerugian pada tahun kewangan 2017 (FY17), FY19 dan FY20.

 

"Memandangkan langkah pelupusan dijangka selesai menjelang suku keempat FY22, kami membuat beberapa pelarasan pada anggaran pendapatan FY23, dengan meramalkan sumbangan yang berpotensi lebih rendah daripada syarikat bersekutu.

 

"Untuk itu, kami mengurangkan unjuran keuntungan bersih bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 15% kepada RM185.6 juta dan RM195.84 juta," jelasnya. 

 

Sejajar dengan semakan semula FY23, firma itu mengurangkan harga sasaran Cahya Mata Sarawak kepada RM1.37 daripada RM1.62 sesaham sebelum ini. 

 

"Namun, kami mengekalkan saranan 'beli' kerana kami percaya ia adalah peluang yang baik untuk kumpulan melangkah keluar daripada perniagaan peleburan ferrosilicon dan manganese alloy yang tidak menentu. 

 

"Malah, ia juga mendapat keuntungan daripada pelupusan hasil berikutan harga bahan mentah yang masih kekal tinggi walaupun selepas mencecah paras tertinggi pada suku ketiga 2021," katanya.

 

Firma itu melihat, prospek Cahya Mata Sarawak masih kekal cerah susulan perniagaan yang semakin meningkat bagi kerja-kerja simen sekali gus membantu menambah rizab bagi melaksanakan pengambilalihan atau pelaburan baharu. 

 

Setakat 10.18 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.05 sesaham. - DagangNews.com