KUALA LUMPUR 28 Feb - MIDF Research menjangkakan prospek Cahya Mata Sarawak Bhd. kekal kukuh bagi 2022 terutama menerusi segmen perniagaan simen yang akan mendapat manfaat daripada pelbagai projek infrastruktur utama di Sarawak.
Ini membolehkan firma itu mengulangi penarafan sahamnya dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.62.
Malah, ia juga mengekalkan unjuran hasil bagi tahun kewangan 2022 (FY22) yang dibuat sebelum ini berjumlah RM1.17 bilion manakala keuntungan hasil sebanyak RM322.7 juta.
Katanya, ia sejajar dengan pandangan dan jangkaannya terhadap prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan, disokong pembukaan semula ekonomi yang membenarkan operasi pada kapasiti sepenuhnya.
"Kami mengunjurkan prospek kukuh bagi hasil dan pendapatan Cahya Mata Sarawak kerana segmen simennya akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan permintaan dalam aktiviti perniagaan dan pembinaan.
"Ini terutamanya dengan pelbagai projek infrastruktur yang dirancang di Sarawak, antaranya, Lebuh Raya Pan Borneo, Projek Jalan Raya Pesisir Sarawak, Sarawak-Sabah Link Road, Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air serta Hab Petrokimia Sarawak," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, Cahya Mata Sarawak merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) sebanyak RM203.41 juta, meningkat 4% berbanding RM194.81 juta bagi tempoh sama 2020.
Keputusan yang dicatatkan itu adalah hasil daripada peningkatan hasil sebanyak 7% kepada RM813.80 juta berbanding RM762.79 juta yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Menurut MIDF Research, walaupun nilai kontrak bahagian pembinaannya menyusut kepada RM670 juta setakat 31 Disember 2021 tetapi kumpulan menyatakan bahawa ia memberi tumpuan kepada bidaan untuk projek baharu yang berkaitan dengan kerja-kerja infrastruktur.
"Oleh itu, kami percaya kumpulan mempunyai peluang yang baik untuk menambah nilai kontraknya terutama dengan projek mega yang dirancang di Malaysia timur," jelasnya.
Setakat 10.47 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.64% kepada RM1.20 dengan 1.81 juta saham diniagakan. -DagangNews.com