CapitaLand catat peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM58.3 juta bagi 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

CapitaLand catat peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM58.3 juta bagi 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan peningkatan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM58.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23).

 

Disokong sumbangan pendapatan daripada Queensbay Mall dan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada hartanah runcitnya, hasil kasar untuk 3QFY23 menyaksikan peningkatan sebanyak 46% kepada RM103.6 juta.

 

Pada 3QFY23, pendapatan boleh agih meningkat 29% kepada RM28.7 juta dengan agihan seunit (DPU) bagi suku ini mencecah 1.05 sen, menandakan kenaikan 4% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September 2023, pendapatan boleh agih berjumlah RM77.1 juta, mewakili peningkatan 20% daripada RM64.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Pengerusi CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn. Bhd. (CMRM), Lui Chong Chee berkata, menerusi pengurusan aset dan modal yang proaktif, CLMT terus memberikan prestasi kukuh pada 3QFY23 walaupun kos perniagaan meningkat.

 

"Walaupun kami menjangkakan permintaan domestik stabil untuk baki tahun tetapi pada masa sama mengambil kira cabaran yang akan datang, termasuk ketidaktentuan makroekonomi global yang semakin meningkat dan persaingan yang semakin sengit berpunca daripada kemasukan ruang runcit baharu di Lembah Klang.

 

"Kami mengekalkan pendekatan proaktif kami terhadap pengurusan portfolio dan aset selain terus mencari peluang mengembangkan portfolio CLMT dan meningkatkan kepelbagaian pendapatan kami," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CMRM, Tan Choon Siang berkata, sehingga 30 September 2023, portfolio penghunian mereka berjumlah 89.6% dengan permintaan untuk ruang runcit kekal teguh makalan segmen runcit mencapai pengembalian sewa yang positif sebanyak 6.3%.

 

Beliau berkata, trafik pembeli meningkat sebanyak 21.6%1 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh program pengaktifan menarik yang direka untuk mencipta pengalaman unik untuk kami pengunjung pusat beli-belah.

 

"Strategi ini juga membolehkan penyewa kami meningkatkan jualan setiap kaki persegi sebanyak 9.1% tahun ke tahun. Berbanding tempoh yang sama pada 2019, jualan penyewa bagi setiap kaki persegi meningkat 23.4%," katanya. - DagangNews.com