Carsome lancar 4 pusat pemeriksaan kenderaan baharu di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Carsome lancar 4 pusat pemeriksaan kenderaan baharu di Sarawak

Gambar Facebook CATS Rangers

KUALA LUMPUR 25 Okt - Carsome telah mengembangkan operasinya ke Sarawak dengan pelancaran empat buah pusat pemeriksaan kenderaan baharu tersebut.

 

Pusat pemeriksaan itu bertujuan untuk menawarkan pelanggan pengalaman menjual kereta tanpa kerumitan, berpandukan prosedur pemeriksaan yang ketat.

 

Setiap pusat akan mempunyai pemeriksa profesional yang mahir untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas kereta itu, untuk memastikan kualitinya diambil kira bagi menawarkan harga terbaik di pasaran.

 

Pengasas Bersama Carsome dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee berkata, pengembangan itu adalah sebahagian daripada misi berterusan syarikat untuk menyelesaikan masalah pelanggan.

 

"Kehadiran Carsome di Malaysia Timur menandakan satu peristiwa penting dan positif bagi kami. Motivasi kami adalah untuk menjadikan perkhidmatan Carsome boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia sambil kami terus berinovasi dalam ekosistem kereta terpakai, dipacu oleh data dan teknologi," katanya.

 

Dengan pelancaran empat pusat pemeriksaan baharu di Sarawak, Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, Carsome kini mempunyai 49 pusat pemeriksaan di seluruh Malaysia, lapor New Straits Times.

 

Dengan memanfaatkan data proprietari dan algoritma penetapan harga, Carsome memastikan penetapan harga yang adil dapat ditentukan untuk setiap kereta, menggariskan matlamatnya untuk mencipta ekosistem kereta terpakai yang dipercayai dan telus.

 

Selain daripada harga yang ditawarkan oleh Carsome, pelanggan juga boleh memilih platform e-bidaannya, untuk mendapatkan tawaran harga berbeza daripada rangkaian pengedar kereta terpakai di seluruh negara.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengembangan Carsome berlaku pada masa kritikal memandangkan negara sedang dalam fasa pemulihan daripada wabak itu.

 

“Saya percaya model perniagaan dipacu teknologi Carsome akan melengkapkan matlamat kami iaitu untuk meningkatkan taraf hidup, mengembangkan ekonomi kami untuk menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan serta melatih warga kami untuk menjadi bijak dan meningkatkan tahap pendapatan mereka.

 

“Ini selaras dengan rancangan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) di mana rakyatnya akan menikmati kemakmuran ekonomi yang dipacu oleh data dan inovasi,” katanya. - DagangNews.com