CelcomDigi perkenal logo korporat baharu bagi teraju inovasi, pendigitalan | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi perkenal logo korporat baharu bagi teraju inovasi, pendigitalan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - CelcomDigi Bhd memperkenalkan logo korporat baharunya, sebuah manifestasi terhadap aspirasi syarikat untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai pelanggan serta rakyat Malaysia dalam inovasi serta pendigitalan.

 

Pengenalan logo baharu ini merupakan langkah signifikan dalam misi syarikat selepas penggabungan, untuk mencari cara yang inovatif bagi memajukan rakyat Malaysia dalam mencapai semua yang mereka impi dan ilhamkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, sejak termeterainya penggabungan itu pada Disember 2022, mereka telah memperkenalkan pelbagai perkhidmatan, rumusan, dan inovasi baharu secara progresif.

 

"Hari ini, lebih daripada sekadar lambang baharu, jenama korporat baharu ini turut menggambarkan permulaan lembaran yang unggul untuk pelanggan, negara, dan CDzen yang memperkasakan organisasi ini setiap hari. 

 

"Pembaharuan ini didorong oleh semangat jenama kami iaitu ‘Mencipta dunia yang diinspirasikan oleh anda’, dengan menerapkan tiga prinsip asas, iaitu dinamisme, mengutamakan pelanggan dan kecemerlangan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Idham berkata, pihaknya berhasrat untuk mengangkat CelcomDigi sebagai ikon inovasi baharu Malaysia, sebuah institusi yang mempunyai skala serta sumber untuk menjadi penggerak kepada pertumbuhan digital negara.

 

"Selain itu, mengembangkan bakat tempatan, membangunkan ekosistem digital tempatan, dan menyediakan rumusan, tawaran, serta pengalaman terbaik buat pelanggan. Di samping menjadi jenama yang boleh dipercayai oleh pelanggan dalam era ‘segalanya digital'," katanya.

 

 

celcomdigi

 

 

Pada April 2023, syarikat itu melancarkan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan mengintegrasi dan memodenkan rangkaian 4G terbesar dan terpantas menerusi teknologi LTE dan sedia-5G yang terkini. 

 

Langkah ini berjaya meningkatkan keseluruhan pengalaman rangkaian buat pelanggan yang mana selepas penggabungan, pelanggan kini dapat menikmati liputan yang lebih luas serta pengalaman pelanggan yang lebih baik.

 

Bukan itu sahaja, syarikat ini juga memperkenalkan tawaran segmen baharu untuk perkhidmatan rumah dan fiber, serta peranti di bawah CelcomDigi Fibre dengan gentian satu gigabait sesaat (Gbps) yang pertama di Malaysia di setiap bilik, dan untuk segmen perniagaan melalui CelcomDigi Business. 

 

 

celcomdigi

 

 

CelcomDigi juga menggalakkan secara aktif pengadaptasian pendigitalan dan 5G For All dalam kalangan pengguna serta perniagaan melalui pakej peranti 5G mampu milik termasuk siri MY5G, dalam menerajui pembangunan 5G dan mempromosikan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Terbaru, CelcomDigi, melalui pusat inovasinya telah bekerjasama dengan DHL untuk melancarkan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di negara ini. - DagangNews.com