CelcomDigi, SES meterai MoU untuk teroka perkhidmatan ketersambungan satelit MEO di Malaysia | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi, SES meterai MoU untuk teroka perkhidmatan ketersambungan satelit MEO di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - CelcomDigi Berhad dan SES memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama strategik untuk meneroka kaedah menyediakan ketersambungan satelit menggunakan satelit Medium-Earth-Orbit (MEO) dan Geosynchronous Equatorial Orbit (GEO) milik SES untuk perniagaan dan komuniti di Malaysia.

 

Syarikat telekomunikasi itu berkata, di bawah MoU tersebut, CelcomDigi menerusi subsidiarinya, akan bekerjasama dengan SES untuk meneroka pembangunan gerbang tempatan bagi perkhidmatan Komunikasi Sateliti (SatCom) di Malaysia. 

 

Katanya, SES dan CelcomDigi akan meneroka cara memanfaatkan sateliti GEO dan MEO milik SES dengan infrastruktur CelcomDigi, seperti rangkaian yang dikendalikan oleh Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd, untuk menyediakan perkhidmatan ketersambungan satelit bergred perusahaan dengan daya pengeluaran tinggi, kependaman rendah dan perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) yang komited.

 

"SES memiliki dan mengendalikan 70 satelit, yang mana 26 daripadanya adalah sateliti MEO. Satelit MEO milik SES mengorbit 8,000 kilometer di atas bumi bagi menyediakan perkhidmatan ketersambungan maya berprestasi tinggi di mana-mana sahaja di dunia. 

 

"CelcomDigi akan meneroka kaedah perkhidmatan ketersambungan seperti 4G, 5G, SDWAN dan Wi-Fi terurus boleh disampaikan menerusi teknologi satelit SES," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada majlis itu, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham dan Ketua Global Perusahaan dan Awan SES, Nadine Allen.

 

Pemeteraian itu yang disaksikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi Lembaga CelcomDigi, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin di Mobile World Congress 2024 di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.

 

Sementara itu, Idham berkata, kerjasama dengan dengan SES bermula dengan infrastruktur pihaknya di Sabah, membuka lebih banyak kemungkinan untuk meningkatkan perkhidmatan ketersambungan 4G LTE dan 5G CelcomDigi untuk perniagaan dan komuniti, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati peluang di dalam ekonomi digital hari ini. 

 

"Kami kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan yang boleh diharap dan pengalaman konsisten kepada para pelanggan dengan rangkaian kami yang terluas dan terpantas di seluruh negara dan kami berbangga untuk menjadi rakan kongsi kepada SES bagi menyampaikan teknologi ini di seluruh negara," katanya.

 

Allen pula berkata, pihaknya gembira memeterai MoU itu dengan CelcomDigi bagi meneroka peluang-peluang bersama bagi ketersambungan berkelajuan tinggi dan akses kepada rangkaian boleh diharap menerusi capaian tiada tandingan dan terbukti teknologi MEO dan GEO pihaknya. 

 

"Di dalam era digital ini, ketersambungan adalah perkara paling terpenting, dan kami akan bekerjasama erat bagi menyambungkan perusahan dan komuniti di kawasan paling terpencil di Malaysia," katanya. - DagangNews.com