Centurion lupus 2 aset di Malaysia berharga RM227 juta kepada KWAP | DagangNews Skip to main content

Centurion lupus 2 aset di Malaysia berharga RM227 juta kepada KWAP

Westlite Bukit Minyak merupakan antara aset yang dilupuskan Centurion kepada KWAP.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Centurion Corporation Limited melupuskan dua asetnya di Malaysia kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berharga RM227 juta.

 

Pelupusan dua aset itu melibatkan Westlite Bukit Minyak bernilai RM81 juta manakala Westlite Tampoi adalah pada harga RM146 juta. Kedua-dua aset berkenaan adalah penginapan pekerja binaan khas (PBWA) yang dibina di atas tanah pegangan bebas.

 

Westlite Bukit Minyak, terletak di Pulau Pinang dan mempunyai jumlah kapasiti sebanyak 3,321 katil. Ia terdiri daripada tiga blok penginapan sebelas tingkat merentasi 16,398 meter persegi.

 

Satu lagi asetnya ialah, Westlite Tampoi, terdiri daripada enam blok penginapan dengan jumlah kapasiti 5,790 katil. Hartanah ini berkeluasan kira-kira 28,328 meter persegi.

 

Syarikat itu juga bersetuju memajak semula hartanah tersebut daripada KWAP bagi tempoh 15 tahun selepas selesai jualan

 

Centurion berkata, perjanjian terbaharunya adalah sebahagian daripada rasionalisasi strategik berterusan aset portfolio syarikat yang bertujuan mengitar semula dan menggunakan modal bagi mengembangkan portfolio asetnya di bawah pengurusan.

 

Perjanjian itu juga sejajar dengan strategi Centurion bagi mengembangkan perniagaannya melalui cara yang mengurangkan aset

 

“Urus niaga jualan dan pajakan balik ini mencontohi strategi yang Centurion yang berhasrat untuk mengoptimumkan modalnya, membesarkan portfolionya dan mengembangkan aliran hasil. 

 

"Kumpulan itu akan meneruskan model ini dan strategi ringan aset yang serupa untuk pertumbuhan sinergi, berskala bagi perniagaan penginapan khususnya merentas semua pasaran global bergerak ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Centurion, Kong Chee Min berkata, pelupusan itu memberi peluang kepada kumpulan bagi membuka kunci nilai, memacu peningkatan portfolio selanjutnya dengan cara mengurangkan aset.

 

"Pada masa sama membolehkan kumpulan itu terus melabur dalam keperluan Malaysia yang semakin meningkat untuk penginapan pekerja berkualiti pada masa hadapan," katanya.

 

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin menjangkakan pelaburan sedemikian akan menjana pulangan pelarasan risiko yang menarik, memupuk impak sosial dan menyokong pelaburan industri di Malaysia.

 

"Dengan melabur dalam PBWA, KWAP berhasrat untuk bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi domestik tetapi juga meletakkan dirinya sebagai pemangkin pelaburan antarabangsa dalam sektor perindustrian Malaysia dengan memiliki penginapan berkualiti dengan keadaan hidup yang lebih baik untuk tenaga kerja syarikat perindustrian," katanya. - DagangNews.com