CGS-CIMB jangka jualan Tan Chong Motor lebih rendah | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka jualan Tan Chong Motor lebih rendah

Tan Chong Motor Holding Berhad

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan syarikat Tan Chong Motor Holding Berhad akan mencatatkan jumlah jualan yang lebih rendah pada tahun kewangan 2020 hingga 2022.

Susulan jangkaan itu, pihaknya mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat Tan Chong Motor sebanyak 11% hingga 24% bagi tahun kewangan sama.

"Kami juga menjangkakan Tan Chong Motor akan mengakhiri tahun kewangan 2020 dengan jangkaan keuntungan yang rendah.

"Bagaimanapun, kumpulan itu tetap optimis untuk meningkatkan jualan yang lebih baik pada separuh kedua 2020," kata CGS-CIMB Research.

Keyakinan tersebut didorong oleh peningkatan jumlah penjualan syarikat berkenaan berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Tan Chong Motor mencatatkan peningakatan jumlah jualan Nissan kepada 1,550 unit pada Julai.

Pencapaian tersebut adalah yang tertinggi pernah dicatat sejak Disember 2019.

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut melihat potensi yang ada pada kenderaan Almera baharu pada penghujung suku ketiga 2020 untuk membantu pemulihan 
jumlah keseluruhan industri (TIV) pada separuh kedua 2020.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research turut melihat jumlah duti eksais berjumlah RM180.1 juta yang diterima dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai satu potensi kenaikan saham dan prospek masa hadapan syarikat berkenaan.

Jumlah duti eksais tersebut merupakan jumlah yang tertunggak dari 1 November 2016 hingga 31 Oktober 2019, namun liabiliti tersebut dinafikan oleh Tan Chong Motor. - DagangNews.com