CGS-CIMB jangka margin Farm Fresh pulih menjelang 2HFY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka margin Farm Fresh pulih menjelang 2HFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun - Farm Fresh Berhad dijangka menyaksikan pemulihan margin menjelang separuh kedua berakhir 31 Mac 2024 (2HFY24) berikutan jangkaan penurunan harga susu mentah di samping kenaikan harga produknya, menurut CGS-CIMB Research.

 

Walaupun margin kasar kumpulan merosot 3.4% tahun ke tahun (YoY) dalam tahun kewangan 2023 (FY23), firma penyelidikan itu berkata Farm Fresh menjangkakan harga susu mentah, yang melonjak 31% tahun ke tahun pada FY23, akan berkurang 14% tahun ke tahun apabila harga di ladang (farmgate price) ditetapkan pada Julai tahun ini.

 

Menurut CGS-CIMB, hal tersebut serta anggarannya terhadap kenaikan harga 5% dari 1 Julai 2023 akan mendorong margin kasar kembali kepada 26.1% pada FY24, di mana firma itu berpendapat jurang dalam margin bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24) pada kira-kira 19% disebabkan inventori susu mentah yang lebih tinggi berterusan sebelum kenaikan harga runcit.

 

“Kami menganggarkan bahawa Farm Fresh akan menyampaikan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-26 sebanyak 30% dipacu oleh CAGR 17% dalam jumlah jualan produk tenusu dan normalisasi margin daripada 23.8% pada FY23 kepada 28.7% pada FY26,” katanya dalam nota hari ini.

 

Mengulas mengenai kenaikan harga, firma itu itu berkata produk kumpulan itu mempunyai pengikut dalam kalangan segmen pengguna berkemampuan justeru memudahkan kenaikan harga, terutamanya dalam segmen susu sejuk premium.

 

“Memastikan kestabilan bekalan produk dalam pasaran utama akan menjadi keutamaan kepada peneraju pasarannya di Malaysia. Kemasukan Farm Fresh ke dalam pasaran Filipina pada suku keempat tahun ini seharusnya memberi rangsangan tambahan kepada jumlah, namun kunci kejayaan di sana adalah meminimumkan risiko dan kos permulaan,” tambahnya.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.37 sesaham daripada RM1.60 sebelumnya berdasarkan Model Pertumbuhan Gordon (GGM) agar mengambil kira keuntungan dan trajektori pertumbuhan Farm Fresh dalam jangka sederhana dengan lebih baik.

 

Berdasarkan GGM, firma itu menganggap pulangan ke atas ekuiti (ROE) 16% berulang berdasarkan ramalan FY26, kos ekuiti 8.5% dan pertumbuhan jangka panjang sihat pada 5%, menghasilkan sasaran nilai harga-ke-buku (P/BV) FY25 berlipat ganda sebanyak 3.1 kali.

 

"Menggunakan kedudukan kukuh jenamanya untuk meletakkan harga yang lebih baik kepada produknya, pada pandangan kami, akan mendorong kenaikan, manakala tekanan kos bahan mentah berterusan dan kelemahan pengurusan bekalan boleh menyebabkan penurunan," tambahnya.

 

Setakat pukul 3:09 petang ini, saham Farm Fresh turun satu sen atau 0.8% pada RM1.29, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM2.41 bilion. -DagangNews.com