CGS-CIMB kekal saranan 'Pegang' saham Pentamaster | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan 'Pegang' saham Pentamaster

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov -  CGS-CIMB mengekalkan unjuran pendapatan Pentamaster saranan 'Pegang' ke atas saham Pentamaster Corp Bhd. pada harga sasaran RM5.30 sesaham.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, CGS-CIMB berkata, pihaknya melihat kelonggaran dalam sekatan perjalanan, sumbangan pendapatan yang lebih kukuh daripada segmen automotif dan perubatan, dan kelulusan FDA untuk bahan perubatan baharu sebagai pemangkin penarafan semula yang berpotensi. 

 

"Sementara itu, kelewatan dalam kelulusan FDA untuk bahan guna perubatan baharu dan penangguhan selanjutnya dalam memenuhi pesanan disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang berpanjangan dan kekurangan bahan adalah risiko utama penurunan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

CGS-CIMB menghadiri taklimat maya keputusan Pentamaster Corp bagi suku ketiga 2021 yang  dihoskan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Leng Kean Yong. 

 

Jelasnya, Pentamaster memaklumkan buku pesanannya kini berjumlah RM300 juta setakat September 2021. 

 

"Kami berkeyakinan untuk melihat penambahan buku pesanan yang lebih tinggi selepas syarikat itu mencatatkan rekod jualan suku tahun pada suku ketiga 2021.

 

"Walau bagaimanapun, kumpulan itu terus terjejas ekoran gangguan rantaian bekalan, yang membawa kepada masa penghantaran lebih lama bagi peralatan dan komponen, sekali gus menjejaskan keuntungannya disebabkan kos bahan mentah, buruh dan pengedaran yang lebih tinggi. 

 

"Bagaimanapun kumpulan itu sedang berunding semula dengan pelanggannya untuk harga jualan purata yang lebih tinggi untuk mengurangkan tekanan kos yang meningkat," jelasnya. 

 

Pentamaster kini sedang dalam proses pelaburan baharu sebanyak RM120 juta untuk kilang ketiga seluas 500,000 kaki persegi di Batu Kawan, yang akan menempatkan bahagian penyelesaian automasi kilang (FAS) dan Pentamaster MediQnya, menerajui usaha kumpulan itu dalam segmen perubatan. 

 

"Kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa Pentamaster telah menyerahkan prototaip kepada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di Malaysia untuk potensi penggunaan kateter IVnya di Malaysia," katanya. -DagangNews.Com