CGS-CIMB kekalkan saranan ‘tambah’ saham Malakoff | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekalkan saranan ‘tambah’ saham Malakoff

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham syarikat tenaga, Malakoff Corporation Berhad dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.04.

 

Seiring penurunan TP, penganalisis di CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, unjuran perolehan sesaham (EPS) kumpulan turut disemak turun sebanyak 1% hingga 4% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23. 

 

Ini selepas firma itu mengambil kira faktor penghantaran yang lebih rendah dan sumbangan yang lebih lemah daripada syarikat bersekutu atau usaha sama kumpulan bagi suku pertama FY21 (1Q21). 

 

“Kekal saranan ‘tambah’ berdasarkan profil perolehan yang lebih baik susulan sumbangan keuntungan lebih kukuh daripada Alam Flora dan kos kewangan lebih rendah.

 

“Risiko penurunan utama kepada saranan ini adalah perolehan yang lebih lemah daripada jangkaan oleh syarikat bersekutu atau usaha sama dan gangguan elektrik yang tidak dirancang di loji jana tenaga. 

 

“Potensi pemangkin kepada penarafan semula termasuk perolehan lebih kukuh dan kunci kira-kira yang bertambah baik,” jelas Siew Teng dalam satu nota kajian. 

 

Semalam, Malakoff mengumumkan keuntungan bersih kumpulan menyusut kepada RM60.44 juta bagi 1Q21 daripada RM89.18 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen sesaham akhir bagi FY20 iaitu 2.3 sen, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 5.1 sen berbanding 6.55 sen yang diberikan pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Jelas Siew Teng, kumpulan itu telah membayar dividen dengan purata lebih 90% daripada perolehannya sejak 2013, dengan kira-kira 100% pembayaran dividen dalam tempoh 2017 hingga 2019. 

 

“Kami mendapati, kumpulan masih komited untuk mengekalkan dasar dividennya untuk membayar minimum 70% daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham, tetapi mungkin akan menyimpan lebih banyak tunai pada masa hadapan untuk peluang perniagaan baharu.

 

“Oleh itu, kami menyemak turun pembayaran dividen FY21 hingga FY23 daripada 100% kepada 80%,” tambah beliau.


Setakat 10.42 pagi, harga saham Malakoff menyusut 0.61% kepada 0.815 sen daripada 0.820 sen. - DagangNews.com