Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Nov - CGS-CIMB mengurangkan unjuran untung bersih AMMB Holdings Bhd. sebanyak 11.1% bagi tahun kewangan 2022 berikutan pelaksanaan Cukai Makmur.
Ini akan menambah lagi kesan negatif ke atas AMMB Holdings setelah beberapa langkah berkaitan bantuan semula kepada peminjam sejak tahun lalu turut menjejaskan pendapatannya.
Penganalisisnya, Winson Ng berkata, antaranya termasuklah pengecualian faedah ke atas pinjaman kadar tetap pada suku kedua dan ketiga 2020 yang menyebabkan kerugian pengubahsuaian sebanyak RM58 juta.
Katanya, pengecualian 3 bulan faedah kepada peminjam B50 pada suku keempat 2021 dan separuh pertama 2022, pula dianggarkan memberi impak negatif sebanyak RM48.9 juta.
"Pendapatan AMMB juga akan terjejas secara negatif dengan pelaksanaan Cukai Makmur. Untuk menilai AMMB, kami meningkatkan anggaran diskaun kepada nilai DDM daripada 15% sebelum itu (bagi risiko kredit daripada COVID-19) kepada 25% dengan tambahan 10% bagi risiko daripada sebarang langkah baharu yang akan memudaratkan pendapatan AMMB.
"Ini mengurangkan harga sasaran (TP) kami daripada RM3.72 kepada RM3.64 di sebalik anggaran untung bersih bagi tahun kewangan 2023-2024 dan peralihan TP kami bagi akhir 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 29 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.
Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham AMMB, tetapi ia bergantung kepada kemerosotan kualiti aset, pertumbuhan pinjaman yang sederhana dan penguncupan dalam margin faedah bersih disebabkan peningkatan dalam persaingan deposit.
Firma itu sebaliknya menaikkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 dengan masing-masing sebanyak 2.5% dan 3.5% susulan jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada pertengahan 2022. - DagangNews.com