CGS-CIMB semak turun EPS, kekal saranan 'tambah' saham Aemulus  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak turun EPS, kekal saranan 'tambah' saham Aemulus 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - CGS-CIMB menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) Aemulus Holdings Bhd. antara 0.1% hingga 4.5% yang mencerminkan pengembangan margin secara beransur-ansur berikutan sumbangan lebih tinggi menerusi pasaran China dengan margin yang agak rendah. 

 

Malah, firma itu mendapati, nilai pesanan Aemulus juga kekal kukuh dengan berlegar antara RM40 dan RM50 juta setakat 8 November 2021. 

 

Katanya, ini terutamanya disumbangkan menerusi penguji AMB 7300 dan AMB 7600 dalam segmen mudah alih dan tablet, khususnya China.

 

"Di samping itu, kami juga menjangkakan jumlah penghantaran yang lebih tinggi menerusi penguji AMB 5600 dalam segmen pengesan imej CMOS (CIS) diikuti perolehan kontrak baharu pada suku ketiga 2021. 

 

"Dengan mengambil kira faktor ini, kami mengunjurkan Aemulus akan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 43% bagi untung bersih teras untuk tahun kewangan 2021 hingga 2024," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Aemulus dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.50, memandangkan ia melancarkan penilaian akhir tahun 2022.

 

Aemulus merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 5.8% bagi suku ke suku bagi suku keempat berakhir 30 September 2021, dipacu penguji AMB 7600 dan AMB 7300 daripada pasaran Malaysia dan China. 

 

Prestasi kukuh ini dapat membantu mengimbangi sumbangan lebih rendah daripada pasaran Taiwan berikutan penurunan volum penghantaran CIS bagi suku ke suku.  

 

Bagi tempoh 9 bulan, hasilnya melonjak 3.2 kali kepada RM61.1 juta berikutan sumbangan lebih tinggi menerusi semua segmen penguji termasuk tablet, mudah alih, pusat data, automitif dan CIS. - DagangNews.com