Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - Penyertaan Westports Holdings Bhd. dalam senarai komponen utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah sesuatu yang 'mengejutkan' buat CGS-CIMB yang sebelum ini menjangkakan Inari Amerton Bhd. akan menggantikan Hap Seng Consolidated Bhd. dalam semakan terbaharu senarai tersebut.
Dalam kenyataan Jumaat lalu, Bursa Malaysia dan FTSE Russell mengumumkan Westports akan menggantikan Hap Seng sebagai konstituen FBM KLCI berikutan kajian semula separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia.
Senarai rizab FBM KLCI, yang terdiri daripada 5 bukan juzuk tertinggi indeks mengikut permodalan pasaran, ialah Inari Amertron, QL Resources Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Malaysian Pacific Industries Bhd. dan ViTrox Corp. Bhd.
Senarai rizab akan digunakan jika satu atau lebih juzuk dipadamkan daripada FBM KLCI berikutan peraturan asas indeks dalam tempoh sehingga kajian semula separuh tahunan berikutnya, jelas kenyataan tersebut.
Menurut CGS-CIMB, perkara itu sesuatu yang tidak dijangkakan memandangkan Inari memiliki permodalan pasaran 9.3% lebih tinggi berbanding Westports setakat 22 November 2021.
"Tetapi, setelah membuat analisis selanjutnya, kami mungkin terlepas pandang mengenai peraturan asas yang mana saham dimiliki pemegang saham syarikat dalam pasaran terbuka digunakan untuk menentukan kedudukan pasaran modal syarikat, hanya dikemaskini pada Jumaat terakhir Jun bagi setiap tahun.
"FTE Russell hanya menggunakan kedudukan saham ini dalam kemas kini suku tahunannya (Mac, September dan Disember) jika perubahan saham dan apungan bebas memenuhi kriteria tertentu," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Pada 30 Julai 2021, Inari melengkapkan penempatan persendirian bagi 333 juta saham atau 10% daripada jumlah saham, yang meningkatkan kedudukan pegangan sham kepada 3.68 bilion, lebih tinggi berbanding bilangan saham sebanyak 3,35 bilion setakat Jun.
Bagaimanapun, firma itu berkata, ia tidak layak untuk memenuhi pelarasan asas saham bagi suku tahunan.
"Ini meletakkan pasaran modal Inari dalam semakan terkini pada RM14.19 bilion berbanding anggaran kami, RM15.65 bilion setakat 22 November 2021, di belakang pasaran modal Westports sebanyak RM14.3 bilion," jelasnya.
Kesemua perubahan konstituen ini akan berkuat kuasa pada 20 Disember 2021 dan semakan seterusnya akan dilakukan pada Jun 2022.
Semakan terkini ini akan diikuti dengan teliti kerana ia boleh impak kepada produk atau dana berkaitan indeks KLCI.
Setakat 10.54 pagi ini, harga saham Westports susut 4 sen atau 0.96% kepada RM4.11 dengan 914,400 saham diniagakan. - DagangNews.com