Chery perkenal lima model baharu di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Chery perkenal lima model baharu di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Chery mengambil langkah besar secara rasmi ke arah pembaharuan jenamanya di Malaysia apabila memperkenalkan lima model terbaharunya menerusi acara pratonton di Setia Alam, baru-baru ini.

 

Pengarah Negara Chery Malaysia, Leo Chen berkata, ia merupakan acara fizikal pertama Chery di Malaysia di bawah pasukan baharu. 

 

"Kedua, ini penampilan rasmi pertama bagi model generasi semasa kami di Malaysia dan ketiga, penampilan pertama Tiggo 8 Pro PHEV (kenderaan elektrik hibrid plug-in) di Asia Tenggara.

 

"OMODA 5, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro turut hadir, memberikan tanggapan teknologi canggih, reka bentuk bergaya dan kelengkapan premium yang menjadi ciri-ciri jenama Chery kini dan masa hadapan. 

 

"Acara dua hari tersebut menyaksikan lebih 100 peserta, menjadi rakyat Malaysia pertama merasai sendiri model terbaharu Chery secara statik dan bagi model tertentu, dinamik juga.

 

“Mendekati pengguna adalah sangat penting bagi Chery. Selain menyampaikan kejayaan global kami serta kemajuan kami dari segi teknologi, kualiti dan reka bentuk, acara ini juga merupakan platform untuk kami berinteraksi secara langsung dengan pengguna dan memahami dengan mendalam kemahuan mereka dari segi kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Leo berkata, acara itu akan mengukuhkan penyelidikan pasaran yang telah dilakukan setakat ini dengan membenarkan mereka mengumpulkan maklum balas pengguna yang menyeluruh melalui tinjauan bersama kenderaan sebenar. 

 

 

chery

 

 

"Maklum balas ini akan membantu kami menyempurnakan strategi produk dan jenama kami, serta menilai kesesuaian setiap model ini untuk pasaran Malaysia," katanya.

 

Tambah Chen, sebagai salah satu ekonomi terbesar di ASEAN dan dengan pasaran automotif yang maju, Malaysia adalah pasaran yang sangat strategik dalam rancangan globalisasi Chery.

 

 

chery

 

 

"Sebagai pengeksport kenderaan penumpang nombor 1 di China selama 19 tahun berturut-turut, dengan jualan di lebih 80 negara dan wilayah, dan kepercayaan lebih 10 juta pengguna di seluruh dunia, kami percaya kami boleh menyumbang secara positif kepada industri automotif Malaysia dan terus memacu pembangunannya," katanya.

 

Dalam pada itu, OMODA 5 telah menarik perhatian ramai rakyat Malaysia kerana reka bentuk ‘Art in Motion’ yang futuristik dan teknologi pintarnya, termasuk Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) dan skrin berkembar yang luas. 

 

 

chery

 

 

Ahli terbesar siri Tiggo Pro, iaitu Tiggo 8 Pro, disasarkan kepada para usahawan dan profesional melalui gabungan teknologi, sentuhan premium serta versatiliti tujuh tempat duduk.

 

 

chery

 

 

chery

 

 

Tiggo 7 Pro menawarkan keseimbangan antara gaya bandar dan ciri mewah, termasuk tiga skrin berdefinisi tinggi yang penuh dengan teknologi terkini, manakala Tiggo 4 Pro menyasarkan golongan muda dengan gabungan unik teknologi dan keselesaan.

 

Tiggo 8 Pro PHEV pula mewakili teknologi terbaharu Chery dalam bidang kenderaan tenaga baharu. Enjin petrolnya berganding bahu dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menampilkan dua motor elektrik untuk menghasilkan sembilan mod operasi termasuk operasi series dan parallel, menjadikannya yang pertama seumpamanya di kalangan jenama China. - DagangNews.com